Mohamad Hussin


Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengambil inisiatif memperkenalkan penggunaan pesawat ‘dron’ untuk menyembur racun dan memantau keadaan tanaman di sawah.

MADA melalui anak syarikatnya, Perniagaan Peladang MADA (MADACorp) dengan kerjasama KBKL Global Sdn Bhd (KBKL) diberi tanggungjawab menggunakan dron sebagai kaedah baru dalam sektor pertanian.

Ketua Pegawai Eksekutif MADACorp Shakir Jamil Fisal berkata, MADACorp yang ditubuhkan 41 tahun lalu bertujuan meningkatkan kesejahteraan petani melalui inovasi, input dan perkhidmatan pertanian berkualiti untuk meningkatkan hasil padi serta pendapatan pesawah.

Beliau berkata, tidak dapat dinafikan perubahan pelbagai kaedah dalam sektor pertanian mempengaruhi landskap perjalanan perniagaan MADACorp.

“Selain benih padi, aktiviti lain MADACorp ialah penggunaan mekanisasi untuk pertanian. Sehubungan itu, bagi memastikan MADACorp sentiasa proaktif dengan perubahan landskap kaedah pertanian semasa, kami memperkenalkan penggunaan pesawat dron.

“Penggunaan dron ini bagi kerja penyemburan racun dan pemantauan keadaan tanaman di sawah. Usahasama MADACorp dan KBKL ini dari segi cara kerja akan membabitkan petani dalam perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program demonstrasi penggunaan pesawat dron di Kampung Padang, Jitra, Kedah, baru-baru ini. Turut hadir Pengurus Besar MADA Fouzi Ali dan Pengarah Urusan KBKL Datuk Lee Su Hong.

Shakir Jamil berkata, penggunaan dron untuk menyembur racun lebih selamat bagi semburan secara manual, dapat mengatasi masalah kekurangan buruh, ketepatan semburan yang tinggi serta boleh menghalang penyakit dan serangga perosak dengan berkesan.

“Satu hektar tanah dapat disembur dalam masa 15 minit. Ia tentutnya lebih cekap dan menjimatkan. Latihan pengendaliannya juga mudah dan boleh dimulakan segera manakala kos penyelenggaraannya murah.

“Bagi tujuan pemantauan tanaman di sawah, ia membolehkan proses pemetaan (mapping) dilakukan secara lebih tepat.

“Ia dapat memberi gambaran tahap kesihatan tanaman di sawah selain membolehkan lebih banyak tanaman diakses dalam setiap penerbangan,” katanya.

Katanya, penggunaan dron juga dapat mengoptimumkan rawatan tanaman secara teliti, sekali gus dapat meningkatkan kualiti pengeluaran, meningkatkan hasil dan mengurangkan kos.

“Masa untuk mengumpul data juga dapat dikurangkan dan mempunyai lebih masa untuk bertindak ke atasnya, memperoleh data lebih tepat serta mendapat liputan lebih luas dan besar.

“Dron ini menggunakan bahan ringan tetapi kuat seperti gentian karbon dan aluminium aeroangkasa. Keseluruhan mesin boleh dilipat, struktur peleraian dapat dilakukan dengan cepat dan mudah dibawa.

“Operasi dan penyelenggaraannya juga mudah, hanya memerlukan satu atau dua hari untuk latihan pengendalian, memiliki ciri keselamatan yang tinggi dan pelegaran automatik,” katanya.

Menurutnya, data penerbangan dirakam secara automatik dan semburan automatik manakala pesawat boleh ditetapkan untuk melengkapkan misi penerbangan secara ‘default’.

“Penggunaan pesawat ‘drone’ secara tidak langsung petani dapat menjimatkan kos,” katanya.

Orang ramai juga berpeluang menyaksikan demonstrasi penggunaan drone sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 1 hingga 12 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 6:08 AM
PESAWAT dron digunakan untuk menyembur racun dan memantau tanaman di sawah.
PESAWAT dron digunakan untuk menyembur racun dan memantau tanaman di sawah.
PESAWAT dron.
PESAWAT dron.
ORANG ramai melihat demonstrasi penggunaan pesawat dron.
ORANG ramai melihat demonstrasi penggunaan pesawat dron.
STAF KBKL mengisi campuran racun rumpai.
STAF KBKL mengisi campuran racun rumpai.