Othman  (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MADACorp, Shakir Jamil Fisal (dua dari kiri) mendengar taklimat mengenai dron daripada jurupandu dron Agrikultur, Kamal Khairi Mohd Zahir (dua dari kanan).
Othman (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MADACorp, Shakir Jamil Fisal (dua dari kiri) mendengar taklimat mengenai dron daripada jurupandu dron Agrikultur, Kamal Khairi Mohd Zahir (dua dari kanan).
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Penggunaan pesawat dron untuk menyembur racun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tidak akan menyebabkan pencemaran udara sekali gus tidak menjejaskan kesihatan penduduk sekitar.

Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai penggunaan dron terbabit kerana ia mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan ketinggian penerbangan dron antara dua hingga tiga meter sahaja.

Katanya, pencemaran seperti yang disuarakan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak berasas kerana MADA menerusi Pusat Latihan Padi MADA (MRTC) sudah melatih pengendali dron mengikut SOP ditetapkan.

“Paras penerbangan dron ketika penyemburan adalah 2.5 meter dari tanah, ketika penyemburan, dron yang diterbangkan sentiasa berada dalam penglihatan pengendali iaitu tidak terlindung daripada pokok, bukit, premis atau bangunan.

“Malah racun juga dibancuh mengikut sukatan di botol selain menggunakan racun yang disahkan oleh Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP)....jadi tidak timbul soal pencemaran udara kepada penduduk sekitar,” katanya ketika diminta mengulas bantahan CAP yang mendakwa penggunaan dron untuk semburan racun akan menyebabkan pencemaran udara serius dan mendatangkan masalah kesihatan kepada penduduk sekitar.

Beliau berkata demikian selepas program Inovasi Teknologi MADA, Pelancaran Perkhidmatan Dron, semalam.

Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1 berkata, MADA akan meneruskan penyemburan racun menggunakan 10 dron bagi musim pertama 2017 di kawasan estet padi seluas 2,000 hektar.

“Penggunaan dron sangat efektif dan efisien dengan semburan lebih sekata serta menjimatkan penggunaan racun dan masa berbanding menggunakan tenaga manusia sepenuhnya.

“Sehari dron ini mampu menyembur racun sehingga kawasan seluas 20 hektar, jadi petani sangat disarankan menggunakan kaedah ini berbanding semburan racun secara manual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 8:53 AM