BAJA CRF iaitu baja pelepasan terkawal.
BAJA CRF iaitu baja pelepasan terkawal.
Mohamad Hussin


Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerusi anak syarikatnya, Perniagaan Peladang MADA (MADACorp) memperkenalkan teknologi baru dalam meningkatkan efisiensi input pertanian iaitu baja Control Release Fertilizer (CRF).

Baja CRF dapat menjimatkan masa dan mengurangkan kos operasi petani sekali gus dapat meningkat­kan hasil pengeluaran padi.

Pengerusi MADA Datuk Othman Aziz berkata, baja CRF adalah baja pelepasan terkawal apabila nutrien dilepaskan secara berperingkat bergantung kepada suhu secara ‘osmosis songsang’ (reverse osmosis).

Beliau berkata, melalui penggunaan baja ini, kaedah pengaplikasian baja menjadi lebih mudah kerana ia perlu ditabur sekali saja.

“Baja CRF ditabur sekali semusim pada masa sebelum badai atau sebelum tabur benih padi berbanding penggunaan baja konvensional yang memerlukan empat jenis baja ditabur beberapa kali mengikut umur pokok padi.

“Baja konvensional sebelum ini digunakan empat kali semusim iaitu pada 15, 25, 50 dan 75 hari selepas tabur benih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran baja CRF dan penggunaan pesawat dron untuk menyembur racun di Laman Padi sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan 2016 (MAHA 2016) di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MADACorp Shakir Jamil Fisal.

Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1 berkata, ujian dijalankan di Kawasan Muda dari 2014 hingga tahun ini menunjukkan impak yang positif.

“Ia menunjukkan perkembangan pokok padi serta meningkatkan hasil padi antara 15 hingga 30 peratus sekali gus dapat membantu petani menambah pendapatan.

“Baja CRF berasaskan teknologi salutan (coating) nutrien baja sebatian (NPK) apabila setiap butiran NPK disalut polimer dengan tiga peringkat lapisan,” katanya.

Menurutnya, lapisan pertama mula mengeluarkan nutrien selepas lima hingga 40 hari selepas penaburan untuk meng­galakkan pokok padi ‘beranak’.

“Ia juga mengeluarkan nutrien nitrogen pada kadar maksimum pada hari ke-12 selepas penaburan. Manakala lapisan kedua akan mengeluarkan nutrien selepas 35 hingga 60 hari selepas penaburan.

“Pada hari ke 45 selepas penaburan, nutrien nitrogen, fosforus dan kalium akan dilepaskan dengan kadar maksimum mengikut keperluan pokok padi.

“Manakala lapisan ketiga mengeluarkan nutrien selepas 55 hingga 100 hari selepas penaburan. Pada hari ke-75, nutrien untuk pengisian buah kalium dilepaskan pada kadar maksimum,” katanya.

Othman berkata, kandungan nutrien baja CRF boleh bertahan sehingga 100 hari dan dapat mening­katkan pendapatan kepada peladang sebanyak RM164 sehektar kerana penjimatan dalam kos upah,” katanya.

“Pengeluaran padi di Kawasan MADA menyumbang sebanyak 38 peratus pengeluaran padi negara sekali gus dengan adanya teknologi baru dapat membantu meningkatkan hasil padi,” katanya.

Pada majlis itu, turut diadakan sesi pertukaran dokumen perjanjian pelesenan teknologi antara MADAcorp dengan Smart Fert Sdn Bhd bagi menghasilkan baja CRF.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 6:12 AM