St Andrews, Scotland: Pemain Denmark Thorbjorn Olesen (gambar) mengumpul kelebihan tiga pukulan menjelang pusingan terakhir Kejohanan Alfred Dunhill Links selepas mencatat tujuh di bawah par 65 di lapangan St Andrews.

Pemain berusia 25 tahun itu beraksi cemerlang dan membenam lapan birdie sekali gus mengatasi pemain Jerman Florian Fritsch yang mencatat 64 pukulan di Kingsbarns.

Pemain Britain Jimmy Mullen yang juga pendahulu semalaman, mengumpul 74 pukulan di Carnoustie.

“Ia hari yang hebat. Saya bermula dengan agak buruk apabila bola pukulan saya tersasar ke kolam tetapi saya berjaya bangkit dan memperbaiki permainan,” kata Olesen yang muncul naib juara acara pro-am di lapangan sama, tiga tahun lalu.

“Pukulan putt saya mula menjadi dan saya mencatat keputusan baik. Saya seronok bermain dengan cara ini.”

Pemain Perancis Benjamin Hebert membenam enam birdie dan mengumpul 67 pukulan di Carnoustie sekali gus menduduki tempat ketiga, empat pukulan di belakang Olesen. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:01 AM