Bahagian bawah tongkang yang masih timbul. (Foto HARUN YAHYA) dan kanan, dua mangsa yang terselamat. - Foto Ihsan Bomba
Bahagian bawah tongkang yang masih timbul. (Foto HARUN YAHYA) dan kanan, dua mangsa yang terselamat. - Foto Ihsan Bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Daro: Ombak kuat serta ribut dipercayai punca tongkang membawa muatan batu kerikil dari Kuching ke Pulau Bruit di sini, karam berhampiran Kampung Betanak, semalam.

Dalam kejadian itu, dua anak kapal terselamat iaitu Melvin Francis, 20 dan Kenny Clement, 18, selepas sempat berpaut pada belakang tongkang yang terbalik. Empat yang masih hilang ialah kapten kapal, Pawi Nyaman, Kamal dan isterinya Mira serta Angga Wahyudi.

Menceritakan kejadian, Melvin berkata, keadaan kapal menjadi tidak stabil akibat dipukul ombak besar serta ribut.

Katanya, ketika itu dia dan Kenny sedang bekerja di atas dek manakala rakan yang lain berada di bawah.

“Kejadian berlaku pantas, kami bernasib baik sempat berenang dan berpaut pada belakang kapal sehingga seorang nelayan datang memberikan bantuan," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Sarawak berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dibahagikan kepada empat sektor pencarian meliputi kawasan seluas lima batu nautika dari pesisir pantai.

Katanya, empat sektor terbabit ialah sektor satu (Agensi Pertahanan Malaysia ), sektor dua (APMM), sektor tiga (Pasukan Polis Marin (PPM) dan sektor empat (bomba).

"Setakat jam 5 petang hari ini, empat mangsa yang hilang itu masih belum ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 6:04 PM