Reuters

Abu Dhabi: Lewis Hamilton berkata, dia tetap merasakan dirinya sebagai juara sebenar Formula Satu walaupun jika keputusan perlumbaan di Abu Dhabi hari ini tidak memihak kepadanya.

Jika dia berjaya mengatasi semua ramalan dan menafikan kejuaraan pertama rakan sepasukannya di Mercedes Nico Rosberg, ia pasti menjadi pencapaian paling bergaya dalam karier pelumba Britain itu.

“Saya rasa, dalam hati saya sepatutnya merasakan perkara itu - dan mungkin saya wajar terus merasakan sebegitu - tetapi saya juga berbangga kerana selama ini sudah membuktikan keupayaan saya,” kata Hamilton menjelang perlumbaan di Yas Marina.

“Jika dia bergelar juara dunia, hati saya mungkin tidak bersetuju,” kata pelumba berusia 31 tahun itu yang mencatat masa terpantas sesi latihan kelmarin.

Seperti Rosberg, Hamilton juga menjulang sembilan kejuaraan musim ini tetapi laluannya untuk menduduki takhta sering berliku.

Pelumba Britain itu berkata, apa yang dia rasakan itu tidak bermakna Rosberg tidak layak dianggap sebagai juara tetapi bagi dirinya, juara dunia sepatutnya muncul yang terbaik dalam semua segi.

“Sama seperti 2007, di dalam hati saya merasakan bahawa sayalah juara sebenar,” katanya.

Pada musim 2007, Hamilton hanya tewas beberapa mata di tangan pelumba Ferrari Kimi Raikkonen.

Musim ini, dia bangkit daripada ketinggalan 43 mata, mendahului senarai sebelum sekali lagi ketinggalan dan kini berpeluang untuk muncul pelumba Britain pertama yang menang empat musim berturut-turut.

Peminat Hamilton pasti menyalahkan kegagalan enjin jentera pelumba itu yang menyaksikan dia kini ketinggalan 12 mata di belakang Rosberg.

Walaupun menang tiga perlumbaan terakhir, dia sedar bahawa Rosberg hanya perlu menamatkan saingan hari ini di kedudukan podium untuk dinobatkan sebagai juara.

Pemerhati Formula Satu memilih Rosberg sebagai calon utama untuk menjadi juara musim ini dan tidak ramai yang menganggap Hamilton mampu memintasnya.

“Jika saya menang? Sudah tentu ia hebat dan menjadi pencapaian terbesar dalam karier saya,” katanya.

“Ia pasti sengit. Sama getir dengan tahun-tahun sebelumnya terutama ketika saya masih muda.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 10:18 AM