Jakarta : Pesawat dan kapal laut milik tentera Singapura bersiap sedia untuk membantu pencarian pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang di perairan Bangka Belitung, hari ini.

Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen dalam laman Facebooknya yang dipetik The Straits Times melaporkan bahawa pihaknya menyiapkan pesawat Hercules C130 dan kapal milik angkatan tentera laut untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Saya juga bercakap dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu untuk menawarkan segenap tenaga dan fikiran serta doa untuk seluruh penumpang dan kru pesawat AirAsia QZ8501.

"Saya juga telah berbicara dengan beliau bahawa pesawat dan kapal kami siap sedia untuk membantu," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam laman Facebooknya juga memaklumkan persiapan untuk membantu pihak berkuasa Indonesia.

"Saya sangat prihatin mendengar bahawa pesawat AirAsia dari Surabaya ke Singapura hilang. Setakat ini ini kami belum mendapatkan butiran lanjut, namun kami telah menawarkan bantuan bagi pihak berkuasa Indonesia," kata Lee. - Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 3:29 PM