Jakarta: Jumlah korban pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Indonesia yang terhempas ke kawasan penempatan ketika berlepas di Medan tengah hari tadi, meningkat kepada sekurang-kurangnya 38 orang.

Menurut laporan AFP, 38 mayat, termasuk seorang kanak-kanak sudah dibawa ke hospital.

AFP memetik pegawai Palang Merah, Eko Triandi, yang membantu pasukan penyelamat di di hospital berkat: “Berdasarkan laporan masih ramai mangsa di tempat kejadian.”

Sementara itu, AP melaporkan jurucakap Hospital Adam Malik, Sairi M Saragih berkata, hospital itu sudah menerima 20 mayat serta dua mangsa yang cedera parah dalam keadaan kritikal.

Ketika kejadian, pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Indonesia itu membawa 17 anak kapal iaitu tiga juruterbang, seorang jurumudi dan lapan juruteknik. Pesawat itu dan terhempas ke kawasan penempatan yang baru siap dibina di hujung landasan.

Televisyen Indonesia menyiarkan imej di tempat tempat kejadian menunjukkan hanya ekor pesawat masih kelihatan serta bangunan yang runtuh.

Pemerintah Tentera Udara Indonesia, Marshall Udara Agus Supriatna, berkata juruterbang memberitahu menara kawalan pesawat itu perlu berpatah balik kerana mengalami masalah enjin.

“Pesawat terhempas ketika ia berpusing ke kanan untuk berpatah balik ke lapangan terbang,” katanya.

Pesawat itu berlepas pada jam 12:08 tengah hari waktu tempatan dari pangkalan tentera udara di Medan dan terhempas dan meletup dengan api menjulang kira-kira-kira dua minit kemudian, kira-kira lima kilometer dari pangkalan itu.

Ia adalah tragedi kedua dalam masa 10 tahun pesawat terhempas di Medan. Pada September 2005, pesawat Boeing 737 milik Mandala Airlines terhempas ke atas kawasan perumahan sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Polonia, Medan, membunuh 143 orang, termasuk 30 mangsa di darat.

Medan yang mempunyai 3.4 juta penduduk ialah bandar ketiga terbesar Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 5:15 PM