DARI kiri Tae Hoon,  Kim Swee, jurulatih Myanmar Gerd Zeise dan jurulatih Vietnam Nguyen Huu Thang pada sidang media rasmi Kumpulan B Piala AFF 2016, semalam.
DARI kiri Tae Hoon, Kim Swee, jurulatih Myanmar Gerd Zeise dan jurulatih Vietnam Nguyen Huu Thang pada sidang media rasmi Kumpulan B Piala AFF 2016, semalam.
Aziman Rosdi

Yangon: Jurulatih Kemboja Lee Tae-Hoon mengakui pemain Harimau Malaysia memiliki lebih kualiti berbanding pemainnya, namun beliau sudah merangka strategi tersendiri untuk memerangkap anak buah Datuk Ong Kim Swee pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2016 di Yangon, Myanmar hari ini.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu seperti merendah diri apabila enggan meletakkan harapan terlalu tinggi buat pasukannya yang dilihat kurang berpengalaman beraksi di pusingan akhir kejohanan ini.

“Saya sudah menyaksikan beberapa video perlawanan Malaysia. Saya tidak tahu nama pemain itu tapi saya tahu cara mereka bermain. Saya berpendapat pemain Malaysia lebih baik berbanding kami.

“Saya tidak mahu meletakkan jangkaan tinggi kerana pasukan ini saya bentuk untuk masa depan. Purata usia pemain kebanyakan dalam 21, 22 tahun dan mereka tidak ada pengalaman bermain di pusingan akhir Piala AFF.

“Tapi, saya percaya mereka boleh memberikan cabaran dan jika bermain dengan baik, kami boleh melakukan sesuatu,” kata Tae-Hoon pada sidang media pra-perlawanan semalam.

Kemboja yang kali terakhir menyertai Piala AFF pada 2008 melakukan persiapan rapi tahun ini dengan mengharungi 15 perlawanan termasuk menang kesemua aksi pusingan kelayakan Piala AFF dengan Laos 2-1, Brunei 3-0 dan Timor Leste 3-2.

Tae-Hoon bakal mempertaruhkan bintang mereka Prak Mony Udom dan Chan Vathanaka untuk melakar kejutan ke atas Malaysia selepas menjadi tulang belakang kejayaan mara ke pusingan akhir Piala AFF 2016.

“Kesemua 23 pemain dalam skuad saya sudah bersedia untuk bermain dalam kejohanan ini. Malaysia, Myanmar dan Vietnam pasukan yang sukar buat kami, tapi jika kami mempunyai keyakinan, kami boleh memberikan aksi terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:16 AM