MENGEKALKAN ciri asal.
MENGEKALKAN ciri asal.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Sejarah awal pembuatan Nissan Sunny bermula pada tahun 1968 hingga 2000 di mana jentera kompak ini dibuat syarikat terkemuka Jepun iaitu Nissan Motor.

Di negara luar khususnya Amerika dan Indonesia, ia ini turut dikenali dengan panggilan Nissan Sentra dan pada awal kemunculannya, jentera Datsun 120Y atau Datsun 210 ini direka khas untuk mencabar pesaingnya iaitu Toyota Corolla dengan varian sedan 2 pintu, 4 pintu serta Hatchback Coupe.

Modifikasi Vroom pada kali ini, menjengah model Datsun 120Y GL buatan 1976 milik Che Omar Kamis, 42, yang dijaga rapi dan turut dilengkapi sistem audio yang memenuhi but.

Jentera yang dikategorikan sebagai Klasik Autoshow ini bernadikan enjin B210 yang bersesaran 1,200cc, tampil kemas dan menarik bukan sahaja rupa luaran malah dalaman jentera tampak bergaya selepas dinaik taraf.

Enjin jentera masih kekal asal, namun diceriakan dengan warna biru metalik dan disulam dengan hos Sumco berwarna sama bagi menyerlahkan restorasi.

Selain itu, tangki air jentera digantikan dengan tangki lebih lebar dan tahan panas daripada jenama Sard serta pengubahsuaian sistem ekzos kustom yang bersaluran terus, menjana lebih kuasa kepada jentera ini yang mampu memecut hingga 160 kilometer sejam.

Jentera yang masih mengekalkan suspensi asal ini dikawal sistem keselamatannya dengan menggunakan sistem brek cakera daripada Nissan Sentra.

Ruangan dalaman pula kelihatan cukup sempurna dan kekal terpelihara dengan pelbagai komponen asli, namun dengan penukaran sarung kerusi PVC berwarna hitam, menjadikan ruangan kelihatan lebih elegan dan menawan.

Sudut luaran masih jelas terpampang indah dengan pelbagai komponen asli jentera ini seperti penahan beban krom pada bampar hadapan dan belakang, lampu dan emblem.

Ia tampil gagah dengan pemasangan rim khas bersaiz 15 inci menjadikan imej jentera lebih bergaya dan uniknya jentera klasik ini turut dilengkapi sistem audio yang menarik.

Pemasangan sistem audio yang dijanakan pemain cakera utama berjenama Alpine yang dihubungkan kepada dua monoblok dan sebuah amp.

Pantulan audio jelas kedengaran dari dua buah woofer Kingdom bersaiz 12 inci yang berkekuatan 1,500 watt dan dua speaker sub dari jenama sama bersaiz 6 inci dengan kekuatan 500 watt.

Turut dilengkapi sebuah monitor bersaiz 12 inci yang turut terselit pada bahagian bawah but dan biarpun tampak mudah cara jentera ini direstorasi dan dimodifikasi, namun kos menjadikan jentera terbabit sedemikian rupa mencecah RM25,000.

INFO

DATSUN 120Y GL 1976

• Enjin: B210 1,200cc

• Hos getah: SUMCO

• Tangki air: SARD

• Rim: 15 inci

• Sistem brek: Cakera Nissan

• Ekzos: saluran terus kustom

• Kerusi: PVC Hitam

• Pemain cakera: Alpine

• Sistem bunyi: Dua Monoblok dan Satu Amp

- Woofer 12 inci Kingdom 1,500 watt

- Subwoofer 6 inci Kingdom 500 watt

• Monitor: 12 inci

• Kos Restorasi: RM25,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:00 AM