KOKPIT yang dihiasi warna oren dan hitam.
KOKPIT yang dihiasi warna oren dan hitam.
BAHAGIAN hadapan tampak garang dan berbeza.
BAHAGIAN hadapan tampak garang dan berbeza.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Model Vios adalah satu daripada jentera sedan terlaris keluaran Toyota dan model pertamanya dilancarkan pada 2003, khusus untuk pasaran Asia.

Jentera empat pintu bersesaran 1,500 dan 1,600cc ini sudah mencapai tiga generasi dan menjadi pilihan anak muda kerana reka bentuknya yang menarik serta bergaya sporty.

Amat jarang dilihat jentera baru sebegini diubah suai secara ekstrem termasuk sistem audionya, namun berbeza bagi Toyota Vios milik S Thevamanogaran, 26, dari Pulau Pinang yang memuatkan pelbagai sistem audio berkualiti.

Namun, model keluaran 2015 bersesaran 1,600cc ini masih mengekalkan pemain cakera asal tetapi dihubungkan dengan pelbagai komponen audio.

Pemain cakera utama dihubungkan dengan sebuah Amplifier Lightning Audio empat hala 1,500 watt dan satu monoblok berjenama sama berkuasa 2,500 watt.

Kemudian, komponen audio ini ditalakan kepada dua woofer berjenama 4X4 bersaiz 12 inci berkuasa 1,500 watt setiap satu menyebabkan setiap bunyi yang terhambur keluar kedengaran mantap.

Lantunan alunan muzik juga terserlah dengan penambahan dua subwoofer bersaiz lapan inci DK 1,000 watt yang ditempatkan di dalam but belakang.

Sebagai sebuah jentera yang dikhususkan untuk sistem audio, pasti tidak lengkap jika tidak dipasang skrin pelbagai saiz sebagai pelengkap paparan video yang dimainkan.

Justeru 10 skrin LED bersaiz 4.3 inci serta dua skrin LED bersaiz tujuh inci menjadi pelengkap kepada jentera ini.

Bagi menambah kelainan, pemilik turut merombak ruangan pemanduan di mana keseluruhan kerusi asal dibalut material khas PVC bertemakan warna oren dan hitam.

Selain itu, pemilik turut mengenakan teknik cat semburan atau ‘airbrush’ pada setiap ruangan dalaman pintu.

Bagi ciri luaran pula, jentera moden ini tampil berbeza apabila keseluruhan kit badan termasuk bampar hadapan dibina khas dengan gaya bentuk seakan model Audi.

Penampilannya tampak garang apabila satu Intercooler turbo khas bersaiz mega turut kelihatan di sebalik bampar hadapan.

Bagi menyerlahkan lagi keterampilannya, set rim bersaiz 17 inci dari BBS menjadi pilihan.

Ketika ditanya mengenai kos keseluruhan modifikasi, pemilik yang juga ahli perniagaan selain ahli kelab Stingers Motorclub mengakui menghabiskan lebih RM20,000 untuk jentera miliknya.

SPESIFIKASI:

Toyota Vios 2015 (Generasi Ketiga)

- Enjin asal 1.6 L

- Kit badan binaan khas

- Bampar Audi

- Intercooler Turbo

- Rim 17 inci BBS

AUDIO

- Pemain cakera Toyota Double Din

- 1 Amplifier Lightning Audio empat hala 1,500 watt

- 1 Mono Lightning Audio 2,500 watt

- 2 woofer 1,500 watt

- 12 inci jenama 4X4

- 2 subwoofer 1,000 watt lapan inci jenama DK

- 10 set 4.3 inci skrin LED

- 2 set 7 inci skrin LED

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:02 AM