RUANG dalam yang kemas dan unik.
RUANG dalam yang kemas dan unik.
TAMPIL menawan.
TAMPIL menawan.
Shahful Shahrin Ahmad Pauzi


Perodua Axia adalah kereta kompak lima pintu keluaran tempatan yang menerima sambutan menggalakkan selepas dilancarkan pada September tahun lalu.

Selain bentuknya kompak, ia mudah diubah suai tidak kira sudut luaran atau dalaman menyebabkan seorang peniaga dari Alor Setar, Kedah sanggup melaburkan jumlah wang yang banyak melakukan modifikasi dengan cara tersendiri membabitkan gabungan konsep dua negara iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Thailand.

Pemilik jentera berkenaan, Ahmad Fikri Ahmad Rusli atau digelar ‘kiki lala’ melakukan proses modifikasi sebaik sahaja membelinya pada tahun lalu.

Ahmad Fikri yang meminati seni dan hasil kerja negara gajah putih dalam pembikinan jentera modifikasi mula menghantar jentera berkenaan ke Thailand untuk diubah suai membabitkan bentuk luarannya.

Sebelum memasuki negara jiran pada awal tahun lalu, jentera berkenaan terlebih dahulu melakukan pemasangan sistem audio berkualiti jenama AS.

Meminati pemain cakera berjenama Sony, pemilik kemudian menggabungkan monoblok Class D Rockford Fosgate 500 watt serta amplifier empat hala Match MA40FX 500 watt.

Sistem bunyi jentera terus ditala Subwoofer Rockford Fosgate Punch P2 12 inci bagi menghamburkan bunyi yang lunak dan padat.

Biarpun hanya sebuah woofer digunakan, beberapa komponen audio lain turut dilengkapi membabitkan pembesar suara pelbagai saiz daripada jenama seperti Morel Dotech Ovation 5, Helix Precision P203 dan ASC-2.4 Powerbass.

Sistem audio itu turut direka dengan menarik menggunakan konsep VIP yang diletak pada bahagian but belakang dengan kombinasi warna merah serta hitam.

Malah ia dihiasi dua LCD 19 inci, satu LCD tujuh inci dan 26 LCD 4.3 inci pada bahagian kabin serta but belakang.

Selepas itu, ruangan kabin gaya konsep jentera negara gajah putih di Hatyai, Thailand membabitkan papan pemuka, tempat duduk, bumbung dan pintu jentera yang dipadankan warna merah dan hitam untuk tampil lebih unik serta menawan.

Bahagian luarannya seperti bampar hadapan dan belakang serta kit badan turut dibina secara khas dengan gaya konsep negara terbabit.

Bagi ‘mencuri’ penilaian dalam pertandingan, ia dilengkapi sistem suspensi udara bagi mengawal ketinggian dengan menggunakan alat kawalan jauh.

Jentera berkenaan sudah beberapa kali memenangi pertandingan autoshow tempatan, malah turut menempa nama di persada permotoran Thailand iaitu International VIP Car Southern 2016 baru-baru ini.

INFO

PERODUA AXIA 2015

Ubah suai luaran:

• Kit Badan kustom konsep Thailand

• Suspensi udara

• Rim Garson Black Mafia 17 inci

Ubah suai audio:

• Pemain cakera Sony

• Monoblok Class D Rockford Fosgate 500 watt

• Amplifier Match MA40FX 500 watt

• Subwoofer Rockford Fosgate Punch P2 12 inci

• Dua pembesar suara enam inci Morel Dotech Ovation 5

• Dua pembesar suara mid Helix Precision P203 3.2 inci Midrange

• Digital kapasitor ASC-2.4 Powerbass

• Dua LCD 19 inci

• Sebuah LCD 7 inci

• 26 LCD 4.3 inci

Kos modifikasi:

• Dirahsiakan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:13 AM