Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Perodua Myvi sebuah jentera yang sangat digemari di Malaysia, malah permintaan untuk jenama berkenaan menerima sambutan tinggi dalam kalangan masyarakat tempatan.

Bentuk kompak dengan memiliki rekaan seperti Toyota Passo serta harga mampu milik membuatnya menjadi pilihan tidak kira peringkat umur.

Ruangan Modifikasi minggu ini memaparkan jentera seorang penjawat awam di Alor Setar, Kedah di mana Perodua Myvi keluaran 2012 bersesaran 1,500cc tampak menarik tidak sahaja dari segi kombinasi warna luaran, malah bahagian dalaman sarat dengan sistem audio berkualiti tinggi.

Pemiliknya, Amirul Shazwan Mohammad, 28, atau lebih mesra dipanggil Wan LC sememangnya meminati sistem bunyi dan kilauan lampu berwarna-warni serta kerana minatnya itu , membuatkan dia sanggup melaburkan puluhan ribu ringgit bagi menghiasi jentera berkenaan.

Jentera yang digelar Si Merah dikenali ‘disko bergerak’ dalam kalangan rakan kelab kereta berikutan suasana dalaman luar biasa selepas dipenuhi sistem audio dengan skrin LCD.

Malah reka bentuk dan gaya dalaman ibarat kereta masa depan sekali gus tampak lebih unik.

Bayangkanlah jentera yang sepatutnya boleh dinaiki lima orang dalam satu masa kini hanya boleh memuatkan penumpang hadapan dan pemandu apabila kerusi belakang ditanggalkan bagi memuatkan sistem audio.

Sistem audio yang digunakan jentera itu dikendalikan dua pemain cakera utama membabitkan Pioneer DEH-80P-RS di bahagian hadapan, manakala belakang menggunakan Pioneer Mitrax AVN-1550H DVD.

Kedua-dua pemain cakera itu dihubungkan kepada dua amplifier jenama Adam Digital empat hala berkapasiti 800 watt serta monoblok Audio Quart AQ-HD4500.

Selepas menjalani proses ‘wajib’ iaitu menyambungkan pemain cakera kepada amplifier dan monoblok dengan menggunakan wayar berkualiti tinggi iaitu Kole Cable, sistem bunyi itu disalurkan dua subwoofer DK bersaiz 12 inci berkuasa 1,500 watt.

Sistem bunyi diperkuatkan lagi dengan empat pembesar suara DK bersaiz enam inci yang berkuasa 300 watt di dalam but.

Proses memasang sistem audio tidak terhenti di situ sahaja apabila pemiliknya menambah dua tweeter Kingdom berkekuatan 250 watt. Jentera berkenaan semakin menarik selepas dipadankan 20 skrin LCD pelbagai saiz.

Sementara itu, bahagian luaran dimeriahkan pelekat badan dengan kombinasi warna kuning dan hitam bagi menaikkan lagi imej Si Merah. Kit badan asal masih dikekalkan, tetapi tampak garang selepas menukarkan rim bersaiz 17 inci iaitu produk dari negara jiran.

Jentera itu menggunakan enjin asal, tetapi ruang itu kelihatan meriah selepas diselitkan beberapa aksesori tambahan.

INFO

Perodua Myvi keluaran 2012

* Enjin asal 1,500cc

- Ubah suai luaran:

* Pelekat badan tempahan khas

* Rim 17 inci

- Audio

* Pioneer DEH-80P-RS Pioneer Mitrax AVN-1550H DVD

* Dua amplifier Adam Digital empat saluran 2,800 watt Monoblock Audio Quart AQ-HD4500

* Dua Subwoofer 12 inci DK 1,500 watt

* Enam pembesar suara enam inci DK 300 watt

* Dua tweeter Kingdom 250 watt

* 14 skrin LCD 4.3 inci

Tiga skrin LCD 7 inci

Satu skrin LCD 19 inci

- Kos modifikasi:

* RM30,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:00 AM