Jenny Taylor sebolehnya enggan mengimbau kembali zaman kanak-kanaknya yang penuh dengan memori luka.

Kala nurani remajanya rapuh dan berantakan, Jenny mengambil keputusan memulakan kehidupan baru dengan meninggalkan kediaman keluarganya.

Segala-galanya dilakukan sendiri, namun ditemani sahabat baiknya, Philippa, Jenny berjaya mengimbangi semula rentak kehidupannya terutama selepas disahkan mengalami tekanan mental.

Berbekalkan manifesto yang diberikan Philippa, Jenny kembali tersenyum, malah hidupnya semakin menyeronokkan.

Bagaimanapun, kebebasan yang dimilikinya itu kembali tergugat dengan kemunculan ibunya yang bertegas ingin memulakan hidup baru bersama si anak.

Ritma harian Jenny kembali caca-marba dengan kerenah si ibu, selain berdepan konflik dengan tunangnya, Matt dan pertemuan yang tidak diduga dengan pemuzik kelab, Joe King.

Pada awal penceritaan, Jenny berjaya membuatkan pembaca tersenyum, malah ketawa dengan gelagatnya. Lucy-Anne memulakan nukilan dengan fasa sederhana sebelum membawa plot yang lebih berat apabila ia membabitkan kisah keluarga Jenny.

Tambahan watak Joe King di suku pertama novel ini nyata menghangatkan lagi situasi terutama kala Jenny mula ragu-ragu dengan pertunangannya.

Matt diletakkan sebagai seorang lelaki yang mempunyai ciri impian seorang wanita, namun ketika plot mula beralih kepada obsesi Matt untuk menaiki tangga korporat, Lucy-Anne membuatkan jejaka itu sebagai salah seorang lelaki paling jelek dalam kamus wanita.

Buku ini memang letaknya dalam kategori 'chic-lit' (chic-literature atau kesusasteraan wanita) namun Lucy-Anne mengubahnya menjadi kisah keluarga yang sering berlaku dalam kehidupan harian.

Membaca buku ini membuatkan kita berdepan dengan emosi 'rollercoaster', ada turun dan naiknya. Ada positif juga negatifnya.

INFO

Judul: Just A Girl Standing In Front Of A Boy

Penulis: Lucy-Anne Holmes

Penerbit: Little Brown Book Group

Harga: RM32.08

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:02 AM