KONGSI pengalaman, tip menerusi buku berkonsepkan motivasi jengah pasaran Januari tahun depan.
KONGSI pengalaman, tip menerusi buku berkonsepkan motivasi jengah pasaran Januari tahun depan.
Oleh Wahi Aziz


Impian Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa menghasilkan buku dapat direalisasikan apabila bakal menjengah pasaran Januari depan.

Pelakon dan pengacara jelita itu berharap karya berkenaan dapat menyuntik inspirasi dan semangat kepada golongan hawa agar berani menceburi dunia perniagaan.

Tegasnya, untuk memulakan sesuatu perlu ada keberanian. Andai elemen penting itu ada dalam jiwa wanita, pasti tiada rasa ragu-ragu untuk menyahut apa saja cabaran seperti dirinya.

“Saya mahu didik wanita jadi lebih berani dan berdikari. Saya percaya semua wanita ada impian untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi termasuk peniagaan.

“Cuma mungkin mereka kurang berani, tidak yakin dan ragu-ragu dengan potensi diri.

“Persepsi itu yang saya mahu mereka ubah. Diharap perkongsian pengalaman dan tip dalam buku itu nanti dapat membantu mereka,” katanya.

Sambung pelakon berusia 26 tahun itu, buku berkonsepkan motivasi itu meliputi jurnal kehidupan dan prinsip yang dipegangnya selama ini.

“Ia bukan buku biografi, tetapi ada memuatkan pengalaman sebenar hidup saya sehingga berjaya membina nama sebagai anak seni, pelajar dan usahawan dalam satu masa. Ia disampaikan secara telus khususnya apa yang dilalui ketika memulakan perniagaan beberapa tahun lalu.

“Saya turut menyelitkan tip dan cara melaksanakan pelbagai tugasan serta tanggungjawab khususnya dalam bisnes supaya dapat membakar semangat golongan hawa untuk berjaya,” katanya.

Ujar Neelofa, buku berjudul The Chic Codes yang masih dalam proses penulisan itu akan dicetak pada November nanti dan dilancarkan pada Januari 2016.

Dia bagaimanapun memilih merahsiakan butiran lanjut buku berkenaan termasuk penggunaan bahasa dan elemen lain sebagai kejutan buat peminat.

“Insya-Allah saya akan masukkan juga panduan dan sistem yang diguna pakai dalam beberapa rangkaian perniagaan saya.

“Paling penting, saya mahu kongsi seni memulakan perniagaan. Dengan kaedah yang betul, semua orang boleh berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 4:47 AM