MICHAEL Gambon yang terkenal menerusi watak Albus Dumbledore dalam rangkaian filem Harry Potter meninggal dunia. FOTO Instagram Official Harry Potter Film
MICHAEL Gambon yang terkenal menerusi watak Albus Dumbledore dalam rangkaian filem Harry Potter meninggal dunia. FOTO Instagram Official Harry Potter Film
Agensi

London: Pelakon Michael Gambon yang terkenal menerusi watak Albus Dumbledore dalam rangkaian filem Harry Potter meninggal dunia disebabkan penyakit pneumonia, semalam.

Gambon, 82, menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di hadapan keluarga tercintanya di sebuah hospital.

Selain keluarga, pemergiannya nyata turut diratapi dunia termasuk pelakon utama Harry Potter, Daniel Radcliffe.

Malah Radcliffe mengakui mendiang adalah insan yang cukup istimewa.

"Kehilangan Michael Gambon membuatkan dunia kurang keseronokan. Seorang yang pelakon sangat cemerlang dan bersahaja saya pernah bekerjasama.

"Namun selain bakatnya yang terlalu besar, hal paling saya ingati mengenainya adalah betapa dia sungguh seronok lakukan pekerjaannya.

"Saya sangat berduka mendengar dia meninggal tapi amat bersyukur bahawa saya antara insan bertuah dapat peluang bekerja dengan beliau," katanya.

Gambon memulakan karier lakonan pada awal 1960-an menerusi teater sebelum tampil di TV dan filem. Antara filem hebat lakonannya termasuk The Cook, the Thief, His Wife & Her Lover dan The King's Speech.

Bagaimanapun, dia menjadi fenomena menerusi watak Dumbledore di mana dia mengambil alih karakter terbabit pada sekuel ketiga Harry Potter. Dia menggantikan mendiang Richard Harris pada 2004. 

Gambon bersara berlakon teater pada 2015 selepas menderita penyakit masalah lupa ingatan dan teruskan lakonan di kaca TV sehingga 2019.

Mendiang berkahwin dengan Anne Miller pada 1962 dan pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki. Mereka tidak pernah bercerai namun selepas itu menjalin hubungan dengan Philippa Hart dan mereka dikurnia dua cahaya mata.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 10:48 AM