Hamzah bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali (tiga kanan) dan Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Ismainur Hadi Amat Bakeron (dua kanan) bergambar bersama artis selepas majlis pra pelancaran Karnival Jualan Mega 2016. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hamzah bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali (tiga kanan) dan Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Ismainur Hadi Amat Bakeron (dua kanan) bergambar bersama artis selepas majlis pra pelancaran Karnival Jualan Mega 2016. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Lebih 300,000 pengunjung dijangka mengunjungi Karnival Jualan Mega 2016 yang akan berlangsung di Dataran Angsana, Johor Bahru, Johor selama lima hari bermula 23 hingga 27 November ini.

Difahamkan, sebanyak 520 gerai jualan dan pameran akan memeriahkan karnival berkenaan yang menampilkan 11 kluster jualan termasuk perabot dan kelengkapan rumah; peralatan elektrik; pakaian dan kasut; makanan; gajet dan penerbitan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya juga berbesar hati apabila Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mencemar duli untuk merasmikan karnival berkenaan.

Malah, katanya, orang ramai juga berpeluang untuk menyaksikan pameran trak milik Sultan Ibrahim selain pameran lebih 20 jenama kenderaan dan motosikal.

"Karnival dianjurkan itu berkonsepkan pameran dan jualan dan ia julung kali dianjurkan secara bersepadu melalui gabungan beberapa program berimpak tinggi di bawah kementerian seperti Kempen Beli Barangan Malaysia: Sambutan Hari Penjaja Malaysia; Hari Pengguna Kebangsaan; Hari Francais Kebangsaan; Program Citarasa Malaysia dan Kempen Kembali Ke Sekolah.

"Program ini bertujuan mengetengahkan karnival jualan besar-besaran sebagai pilihan masyarakat untuk berbelanja pada harga berpatutan selain membantu memasarkan produk tempatan serta merancakkan kegiatan ekonomi domestik," katanya pada sidang media pada majlis pra-pelancaran karnival berkenaan di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 8:50 PM