Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Seramai 100 pasangan pengantin terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin, mualaf dan berpendapatan rendah (B40) bakal dirai secara besar-besaran pada majlis Walimatul Urus Perdana anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp).

Majlis itu sebahagian daripada Karnival Maiwp 2023 yang bakal berlangsung selama dua hari bermula 28 Januari ini di Dataran Merdeka di sini.

Pengerusi Maiwp, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, pihaknya memperuntukkan RM1.5 juta untuk penganjuran Karnival Maiwp itu yang menghimpunkan pelbagai pihak dan rakan kongsi.

"Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga berkenan mencemar duli menyempurnakan Karnival Maiwp nanti.

"Sementara kos majlis walimatul urus adalah berdasarkan peruntukan diluluskan dan istimewanya apabila setiap pasangan diberi sepersalinan pakaian pengantin, selain sumbangan wang tunai RM2,000 seorang... bermakna RM4,000 bagi setiap pasangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Majlis Pra Pelancaran Karnival Maiwp di sini, hari ini.

TAN Sri Dr Mohd Daud Bakar (tengah) bergambar bersama bakal-bakal pengantin pada Majlis Pra-Pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini. FOTO Bernama
TAN Sri Dr Mohd Daud Bakar (tengah) bergambar bersama bakal-bakal pengantin pada Majlis Pra-Pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini. FOTO Bernama

Walimatulurus Perdana itu adalah anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Naurah Care Malaysia (Naurah Care).

Sementara itu Pengerusi Naurah Care, Sheikh Ahmad Fakhruddin Sh Abd Rahim berkata, program itu memilih tema Nostalgia Adat Istiadat Sejarah Kegemilangan Melayu Islam bertujuan mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan dan lambang kemelayuan Islam.

"Konsep yang dirancang itu bertujuan mempromosikan kesenian dan kebudayaan Melayu kepada segenap lapisan masyarakat berbilang agama, kaum dan budaya sekali gus menjelaskan agama Islam tidak melarang masyarakat untuk berbudaya selagi ia selari dengan syariat Islam yang syumul.

"Selain itu, ia bagi menyemarakkan lagi semangat persaudaraan sesama Islam di samping menjadi teladan buat segenap lapisan masyarakat.

"Bagi memeriahkan suasana dan memastikan majlis itu menjadi kenangan manis kepada pasangan raja sehari diraikan, pelbagai persembahan kebudayaan seperti kompang, silat dan tarian tradisional akan dipersembahkan," katanya.

Turut diadakan sempena Karnival Maiwp adalah Maiwp Run yang dijangka disertai 10,000 peserta, penyampaian anugerah Ikon Usahawan Asnaf dan Ikon Pendidikan Asnaf Maiwp, selain pembukaan 100 tapak jualan.

Karnival akan diserikan dengan persembahan selebriti nasyid popular seperti Rabbani, Raihan, In Team, Nada Murni 2 dan Aydan.

Maiwp Run dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Maiwp bermula 7 pagi, 29 Januari 2023 membabitkan laluan sejauh tiga ke lima kilometer melalui Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdulrahman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 2:35 PM