SEBAHAGIAN 1,139 murid dan guru memotong kek sebagai gimik Sambutan Hari Lahir Mega sempena Karnival Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Seri Negeri, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
SEBAHAGIAN 1,139 murid dan guru memotong kek sebagai gimik Sambutan Hari Lahir Mega sempena Karnival Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Seri Negeri, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

Langkawi: Cipta kelainan apabila Sekolah Kebangsaan Seri Negeri (SKSN) di sini, mengadakan acara sambutan hari lahir mega membabitkan 1,139 murid dan guru sempena Karnival Hal Ehwal Murid (HEM), tadi.

Malah, keceriaan karnival itu turut diwarnai pemakaian kostum pelbagai kerjaya oleh seluruh warganya sebagai inisiatif memberi inspirasi kepada murid untuk melangkah ke alam pekerjaan suatu hari nanti.

Guru Penolong Kanan HEM sekolah itu, Siti Harliza Ramli berkata, sambutan hari lahir mega membabitkan seluruh warga sekolah itu dirancang khas bagi memberi lebih penghayatan, menjimatkan masa dan kos.

"Setiap murid dan guru masing-masing memiliki tarikh lahir, tapi tahun ini buat julung pihak sekolah mengambil inisiatif menganjurkannya serentak menerusi Sambutan Hari lahir Mega sempena penganjuran Karnival HEM.

"Alhamdulillah acara ini mendapat sambutan baik dari pelbagai pihak, malah pihak sekolah menerima sumbangan ratusan kek hari lahir yang dibawa secara 'potluck' disumbangkan murid," katanya ketika ditemui di sini.

Siti Harliza berkata, karnival itu turut diserikan pelbagai acara menarik lain termasuk sambutan hari kanak-kanak, apresiasi kehadiran cemerlang dan penyerahan bantuan kit Mat Kilau dan Tun Fatimah.

"Pameran statik membabitkan Polis Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Agensi Anti Dadah Kebangsaan; Pejabat Kesihatan Daerah; Penjara dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut diadakan.

"Seluruh warga sekolah turut sepakat dan teruja mengenakan pakaian pelbagai kerjaya dan antara yang popular adalah chef, arkitek, polis, doktor, petani, guru, tentera, bomba, jururawat dan juruterbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 12:53 PM