Mohd Husni Mohd Noor


KARNIVAL Rahmah 2019 yang melabuhkan tirai, semalam, dikunjungi lebih 20 peratus pengunjung bukan Islam daripada keseluruhan 250,000 pengunjung yang hadir sepanjang tiga hari penganjurannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, karnival ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung bukan Islam.

“Mereka (pengunjung bukan Islam) datang melawat pameran dan ada juga membeli barangan dijual di tapak karnival.

“Mereka juga tidak menganggap ini (karnival) program Islam, sebaliknya memberi manfaat semua pihak,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Penutup Karnival Rahmah 2019 di Putrajaya.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail.

MUJAHID (tengah) beramah mesra bersama pengunjung Jamuan Rahmah sempena Karnival Rahmah di Perbadanan Putrajaya. FOTO SAMADI AHMAD
MUJAHID (tengah) beramah mesra bersama pengunjung Jamuan Rahmah sempena Karnival Rahmah di Perbadanan Putrajaya. FOTO SAMADI AHMAD

Katanya, pihaknya meletakkan penarafan lapan bintang bagi penganjuran karnival ini, namun akan meneliti balik prestasi program secara keseluruhannya melalui ‘post mortem’ yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

Mujahid berkata, karnival julung kali diadakan sejak Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan akan dijadikan acara tahunan berpaksikan enam kluster berasaskan teras RAHMAH iaitu Rahmah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat.

Menurutnya, pihaknya berhasrat memperluaskan karnival ini pada masa akan datang termasuk menganjurkannya secara tahunan dan menjelajah ke setiap negeri bagi memastikan objektif karnival dapat disampaikan.

“Sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara lebih setahun lalu, ini adalah karnival terbesar dianjurkan dalam konteks menunjukkan hasrat kerajaan khususnya menerusi pentadbiran Islam.

“Sepanjang tiga hari ini, kita dapat lihat sikap rakyat Malaysia yang memilih jalan kedamaian, keharmonian, bersatu padu, keamanan berbanding tekanan suara yang mengheret rakyat Malaysia ke arah kebencian dan permusuhan,” katanya.

Katanya, pihaknya menjelaskan bahawa karnival ini dianjurkan hasil kerjasama pintar antara rakan strategik JAWI dan JAKIM termasuk beberapa agensi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 12:17 AM