AIMAN
AIMAN
Syafil Syazwan Jefri


Pada usia 18 tahun, penyanyi Aiman Tino bersyukur kerana karier seninya berjalan lancar lebih-lebih lagi selepas lagu nyanyiannya diumumkan finalis Anugerah Juara Lagu 31 (AJL31).

“Alhamdulillah, saya sangat teruja dan bersyukur dengan pencapaian ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada juri yang memberi peluang kepada lagu Ku Rela Dibenci untuk saya melangkah ke AJL31,” katanya.

Menurut Aiman, ini adalah pengalaman dan pelajaran buatnya sebagai penyanyi yang baru mula menapak dalam industri muzik.

“Perjalanan saya sebagai artis baru saja bermula dan banyak lagi yang perlu dipelajari.

“Sedikit sebanyak, saya dapat rasakan usaha bersama ayah dan ibu selaku komposer serta penulis lirik Ku Rela Dibenci terbayar. Saya sampaikan lagu itu dengan sepenuh hati pada saingan separuh akhir Muzik Muzik 31 lalu,” katanya.

Kata Aiman, dia sendiri tidak pernah menjangka lagu itu mampu melangkah sejauh ini.

“Memang tak pernah jangka langsung lagu Ku Rela Dibenci pergi sejauh ini kerana pada awalnya, kemunculan saya hanyalah sekadar di YouTube,” katanya.

Ditanya mengenai saingan terdekatnya di pentas AJL akan datang, Aiman mengakui semua lagu yang bertanding ada kekuatan masing-masing.

“Tentunya semua lagu ada kekuatan tersendiri dan rata-rata penyanyi yang bertanding adalah dalam kalangan senior serta pernah melangkah sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Menjadi kebanggaan apabila dapat berkongsi pentas dengan mereka yang menjadi idola saya sejak sekian lama antaranya Misha Omar dan Hafiz Suip,” katanya.

Namun, ada juga beberapa komen yang mengatakan Aiman tidak mampu menyanyikan secara langsung.

Bagaimanapun, Aiman enggan mengulas mengenai perkara itu.

“Setiap orang ada komen tersendiri. Kalau ada yang mengatakan saya tidak boleh menyanyi secara langsung, mungkin mereka boleh kaji semula apa kekurangan saya,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai konsep persembahannya untuk AJL31 yang akan berlangsung pada 22 Januari tahun depan, Aiman berkata ia masih dalam proses perbincangan dengan pihak pengurusannya.

Terbaru, Aiman kini mempromosikan single keduanya, Permata Cinta.

“Konsepnya mungkin tidak banyak beza dengan Ku Rela Dibenci, tetapi disuntik dengan nada lebih moden. Permata Cinta juga kini sudah berada di YouTube dan alhamdulillah, selepas seminggu videonya dimuat naik, jumlah tontonannya sudah mencecah hampir 500,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 10:17 AM