Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei (gambar) tidak kisah kehilangan status pemain perseorangan nombor satu dunia selepas turut menarik diri daripada Terbuka Hong Kong kerana belum cergas sepenuhnya.

Menurutnya, paling penting buat dirinya adalah sentiasa fokus terhadap latihan sebagai persiapan untuk menyertai kejohanan lain dan menghasilkan keputusan positif.

“Ranking bukan lagi keutamaan saya. Lagipun saya pernah merasa menjadi pemain nombor satu dunia untuk tempoh lama,” kata pemain berusia 34 tahun itu. Chong Wei turut tidak menyertai Terbuka China yang sedang berlangsung.

Jelasnya, dia harus belajar menerima hakikat bakal kehilangan status pemain nombor satu dunia selepas menarik diri daripada dua kejohanan berkenaan ekoran kecederaan.

“Buat masa sekarang, saya akan terus fokus menjalani latihan bagi menghadapi saingan tahun depan terutama Kejohanan Dunia (di Glasgow, Scotland).

“Saya masih belum pulih sepenuhnya, jadi tiada guna beraksi dalam dua kejohanan itu. Saya mahu fokus terhadap proses pemulihan,” katanya yang mengalami kecederaan hamstring.

Chong Wei kemungkinan besar kehilangan status pemain nombor satu dunia selepas membuat keputusan menarik diri daripada Terbuka Hong Kong yang berlangsung 22 hingga 27 November ini.

Dia mengalami kecederaan hamstring ketika beraksi di Terbuka Denmark bulan lalu dan juga juara bertahan bagi Terbuka China serta Hong Kong.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008, 2012 dan 2016 itu juga bukan saja bakal kehilangan status nombor satu dunia, tetapi berkemungkinan tidak layak beraksi pada Siri Super Akhir Dunia di Dubai, bulan depan.

“Jika tidak layak ke Siri Super Akhir juga tidak mengapa. Ia akan memberi saya banyak masa bagi melakukan persiapan menghadapi saingan tahun depan terutama Kejohanan Dunia,” kata Chong Wei yang kini menghuni ranking nombor lima Siri Super dengan hanya lapan pemain terbaik beraksi di Dubai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 8:42 AM