AMBIL dua sajian buah-buahan setiap hari.
AMBIL dua sajian buah-buahan setiap hari.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Ada individu yang lebih gemar mengambil makanan tambahan seperti vitamin dan mineral dalam bentuk pil berbanding daripada sumber semula jadi iaitu buah-buahan serta sayur-sayuran.

Ini kerana mereka beranggapan pil lebih mudah dimakan dan pada masa sama mahu memastikan badan sentiasa sihat serta mempunyai daya ketahanan penyakit yang tinggi.

Namun, sebenarnya digalakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran kerana ia lebih selamat, tinggi khasiat selain harganya yang murah.

Saranan pengambilan sayur-sayuran adalah sekurang-kurangnya tiga sajian setiap hari daripada pelbagai warna, manakala buah-buahan pula dua sajian setiap hari.

Masih ramai tidak sedar nutrien buah-buahan dan sayur-sayuran mampu mencegah banyak penyakit termasuk penyakit kronik.

Buah-buahan

1. Pisang

Antara buah-buahan tempatan yang mempunyai banyak khasiat menakjubkan untuk tubuh.

Khasiat terkandung dalam sebiji pisang bersaiz sederhana ialah kalium, vitamin B6, vitamin C, magnesium, tembaga, protein dan lemak.

Kandungan tinggi serat pada pisang, menjadikan buah ini sebagai makanan pilihan bagi mereka yang sedang berdiet dan mahu menurunkan berat badan.

Pisang juga mengandungi tryptophan iaitu sejenis asid amino yang boleh ditukar kepada serotonin.

Ia dikatakan boleh membaiki mood seseorang kerana sifatnya antikemurungan.

2. Nanas

Ia boleh dianggap sebagai buah unggul kerana mengandungi vitamin C yang tinggi dan sangat diperlukan untuk kesihatan tubuh terutama dalam penyembuhan luka.

Kandungan vitamin B terutama B1 dapat membantu proses penghadaman dan melancarkan proses pencernaan.

Kanandungan potasium bersama sodium dalam nanas pula dapat mengawal imbangan air dalam tubuh.

Enzim proteolitik iaitu bromelin pada nanas dipercayai mampu mencegah panyakit barah selain mengurangkan keradangan penyakit sendi.

3. Jambu batu

Mengandungi tiga hingga enam kali ganda lebih tinggi vitamin C berbanding oren dan 10 hingga 30 kali ganda lebih banyak daripada pisang.

Banyak kajian menunjukkan kandungan tinggi antioksida dan vitamin pada jambu batu membantu melindungi hati daripada kerosakan akibat radikal bebas.

Vitamin A dan kalium pada jambu batu boleh mengurangkan tahap kolesterol dalam darah.

Selain itu, ia juga mengekalkan fungsi otot dalam badan termasuk jantung.

Sayur-sayuran

1. Sawi

Meskipun sayur ini mempunyai rasa lemak manis dan sedikit pahit, tetapi memiliki banyak khasiat yang sangat baik kepada kesihatan.

Satu cawan sawi mempunyai nutrisi seperti protein, lemak, karbohidrat, serat, air,kalsium, zat besi, kalium, vitamin C, vitamin B1, B2, C, vitamin K, vitamin E dan vitamin A.

Sawi juga kaya antioksida yang berfungsi membantu melawan radikal bebas dalam tubuh.

Selain mempunyai komponen antibarah, sayur ini turut bermanfaat untuk kesihatan mata terutama melindungi kerosakan retina daripada sinaran biru.

2. Bayam

Terkenal sebagai sayuran yang mengandungi zat besi yang tinggi, berfungsi membawa oksigen ke seluruh tubuh, mencegah anemia, meningkatkan metabolisme dan fungsi otak.

Ia juga dianggap sebagai makanan unggul kerana mengawal tekanan darah, menguatkan otot, meningkatkan kesihatan tulang dan penjagaan kulit.

Antioksida pada bayam iaitu asid alpha-lipoik dipercayai membantu menurunkan tahap glukosa pesakit diabetes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 6:40 AM