LEE Ching Yi, Sabrina How (tengah) dan Amy Zheng (kanan) bersama snek sihat Ramadan.
LEE Ching Yi, Sabrina How (tengah) dan Amy Zheng (kanan) bersama snek sihat Ramadan.
Zaitie Satibi


Sepanjang Ramadan, pasti kita mahu berpuasa dengan lancar tanpa ada halangan yang boleh menjejaskan ibadat ini. Namun, dugaan paling umum ketika berpuasa adalah rasa lapar di siang hari.

Bagi menghindari rasa lapar ketika berpuasa digalakkan mengambil makanan sihat dengan kandungan serat tinggi ketika bersahur. Ini kerana, makanan berkenaan membuat kenyang lebih lama akan menjadikan perut tahan lapar, di samping proses pencernaan pada usus juga menjadi lebih sihat kerana makanan kaya serat.

Mengambil pelbagai jenis kacang ketika bersahur amat baik dalam menjalani ibadat puasa dengan sempurna. Ini kerana, kandungan protein kacang membuat kita berasa kenyang lebih lama, sekali gus mengawal keinginan untuk makan.

Selain itu, kekacang juga mengandungi bahan antioksidan, vitamin, zink, zat besi, kalsium, potasium dan magnesium yang diperlukan tubuh.

Malah, dikatakan mereka yang mengambil makanan kekacang ketika bersahur cenderung menahan lapar 31 peratus lebih lama berbanding yang tidak mengambilnya.

Namun, segelintir masyarakat Islam di negara ini tidak menyedari manfaat kekacang sebagai makanan yang mendatangkan rasa kenyang dan menyihatkan serta dapat membantu ibadat puasa berlangsung dengan lancar.

Ini kerana, budaya pengambilan nasi bersama lauk-pauk seperti ayam, daging dan makanan laut ketika bersahur yang diamalkan sejak sekian lama dikatakan mampu mengenyangkan sepanjang berpuasa.

Menyedari manfaat dalam kekacang yang membantu masyarakat Islam memulakan ibadat puasa dengan makanan menyihatkan, pengeluar snek sihat tempatan, Amazin’ Graze, menghasilkan menu makanan kekacang khas untuk Ramadan.

Amazin’ Graze diasaskan Ogos tahun lalu oleh tiga sahabat iaitu Lee Ching Yi, Amy Zheng dan Sabrina How. Ketiga-tiga mereka turut bertindak sebagai Pengarah Syarikat pengeluar snek menyihatkan itu.

Menurut Ching Yi, Amazin’ Graze wujud selepas menyedari tidak banyak pilihan makanan ringan menyihatkan di negara ini selain buah-buahan. Snek sihat di pasaran mahal kerana diimport dari luar negara.

“Banyak makanan ringan kita ambil tidak menyihatkan kerana kandungan lemak, karbohidrat, gula dan garam yang tinggi termasuk banyak mengandungi bahan pengawet, pewarna dan perasa tiruan.

“Makanan ringan dengan kandungan itu jika diambil dalam jangka panjang boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti (kegemukan), kerosakan gigi, kanser dan jantung.

“Itu sebabnya, kami menawarkan pelbagai pilihan snek sihat iaitu kekacang seperti walnut, pecan, hazel, badam, kacang tanah, biji gajus dan granola iaitu campuran bijirin, buah-buahan kering, biji labu, oat dan madu,” katanya.

Katanya, setiap kekacang mempunyai khasiat untuk kesihatan. Kandungan kekacang yang padat dengan protein, serat, lemak penting, vitamin dan mineral juga memberikan tenaga mencukupi untuk tubuh.

“Misalnya, badam kaya dengan kalsium dan pilihan terbaik bagi memastikan kita mendapat mineral penting untuk tulang. Badam juga tinggi dengan vitamin E iaitu nutrien yang baik untuk kulit dan kandungan flavonoid dalam badam membantu melindungi jantung.

“Kacang pecan pula baik untuk jantung kerana padat dengan sterol tumbuhan iaitu sebatian penting yang cekap menurunkan tahap kolesterol. Kacang ini tinggi antioksidan mencegah pembentukan plak yang menyempitkan arteri.

“Ketika berpuasa digalakkan mengambil kacang pecan kerana ia sumber vitamin B3 yang sempurna bagi mengatasi keletihan kerana vitamin ini membantu mengakses tenaga dalam makanan kita.

“Kacang gajus juga menyumbang protein yang banyak dan sumber penting mineral seperti zat besi dan zink termasuk magnesium yang baik untuk meningkatkan memori,” katanya.

Snek sihat Amazin’ Graze turut menggunakan campuran kuaci biji labu (pepita) yang padat dengan serat, vitamin dan mineral yang mampu membekalkan tenaga sepanjang hari, manakala biji chia membantu mengurangkan rasa lapar dengan menghalang penyerapan sebahagian kalori ke dalam sistem badan serta menyerap lebih banyak air.

“Biji chia juga bermanfaat kepada penghidap diabetes kerana makanan ini memperlahankan proses penukaran karbohidrat kepada gula ringkas, di samping mengawal gula darah.

“Kami juga menggunakan biji flaks yang boleh mengurangkan keinginan makanan manis, membantu pencernaan dan mengurangkan berat badan disebabkan ia kaya dengan serat, lemak Omega 3, vitamin dan mineral seperti kalsium, fosforus, potasium dan zink,” katanya.

Amazin’ Graze menawarkan lima menu iaitu campuran kacang berperisa rendang dan sate, granola kurma dan biskut pandan serta mawar yang diadun khas tanpa mentega, tepung kek dan gula.

“Bagi menepati aspek kesihatan, adunan biskut menggunakan minyak zaitun, tepung penuh serat (wholemeal) dan bahan pemanis daripada madu dan sirap maple.

“Snek sihat khas Ramadan ini adalah bahan campuran tinggi protein, lemak baik dan karbohidrat kompleks yang membantu melepaskan tenaga sedikit demi sedikit dan rasa kenyang lebih lama untuk mereka yang berpuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:00 AM