RONALD Koeman (kanan) dan Jose Mourinho ketika United membelasah Everton 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin. FOTO Reuters
RONALD Koeman (kanan) dan Jose Mourinho ketika United membelasah Everton 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin. FOTO Reuters
Reuters

Manchester: Jose Mourinho mengandaikan Everton sepatutnya menyasarkan penamat empat teratas selepas membelanjakan 145 juta pound (RM821.9 juta) pada musim panas tetapi pengurus kelab Merseyside, Ronald Koeman, berkata dakwaan rakan sejawatannya di Manchester United itu tidak realistik.

Komen Mourinho hadir menerusi kenyataan di buku program perlawanan sebelum United membelasah Everton 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin.

Koeman bagaimanapun berkata sasarannya masih belum berubah dari musim pertamanya di kelab itu apabila Everton menduduki tempat ketujuh dan beliau perlukan lebih masa sebelum dapat mencabar kelompok empat teratas.

“Ada sesiapa yang melihat ini sebagai realistik buat Everton? Tolonglah. Peminat, media - kami perlukan masa,” kata Koeman.

Everton berada dalam kelompok tiga tercorot selepas tewas tiga perlawanan Liga Perdana berturut-turut, bolos sembilan gol tanpa jaringan ke atas pasukan lawan. Mereka juga tewas 0-3 kepada kelab Itali, Atalanta dalam aksi Liga Europa minggu lalu.

“Apabila anda melihat kepada jadual pada permulaan musim, kami sedar tidak mampu memenangi kesemuanya,” kata Koeman.

“Kami sudah menentang Manchester City, United dan Chelsea di tempat lawan, selain Tottenham di tempat sendiri. Empat pencabar gelaran dengan Liga Europa di antaranya.”

Perlawanan Everton selepas ini adalah di laman sendiri menentang Bournemouth, satu tangga di bawah mereka iaitu ke-19 pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 4:04 AM