AZIZUL (kiri) menunjukkan jersi Kedah.
AZIZUL (kiri) menunjukkan jersi Kedah.

Shah Alam: Kelibat seorang penyokong Kedah yang berjalan membawa piala di perkarangan Stadium Shah Alam sebelum sepak mula aksi final Piala Malaysia malam tadi mencuri tumpuan ramai.

Biarpun sudah berusia 70 tahun, Ismail Awang Saud masih gagah untuk berada di stadium selepas mengharungi perjalanan sejauh lebih 300 kilometer dari Yan, Kedah.

Beliau yang ditemani cucunya, Mohd Syahmi Hazim Shahrobani dengan menaiki bas menceriakan penyokong Kedah yang tiba awal di stadium dengan gelagatnya.

Ramai penyokong mengambil kesempatan dengan bergambar bersama Ismail atau turut dikenali sebagai Pak Teh serta piala bukan replika Piala Malaysia sebaliknya Piala Pak Teh Seni Silat S14 Hijau Kuning Bukit Besar.

Pak Teh masih bersemangat untuk datang ke stadium bagi memberi sokongan kepada skuad Helang Merah meskipun tumpas tahun lalu.

“Tahun lalu saya datang juga ke stadium jadi kali ini saya harap Kedah boleh menang. Saya bawa piala ini mana tahu ada tuah buat Kedah,” katanya ketika ditemui semalam.

Semangat Pak Teh itu turut dikongsi bersama ribuan penyokong Kedah yang sudah membanjiri stadium sejak jam 12 tengah hari.

Bagi Mohd Azizul Abu Bakar, 32, dari Bukit Selambau, Sungai Petani, dia tidak mahu melepaskan kesempatan menyaksikan Kedah beraksi di final meskipun terpaksa bergegas dari Litar Antarabangsa Sepang selepas menyaksikan perlumbaan MotoGP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 11:37 AM