BADDROL (kanan) gigih berlatih bersama rakan sepasukan.
BADDROL (kanan) gigih berlatih bersama rakan sepasukan.
Devinder Singh


TONGGAK tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar menegaskan betapa pentingnya kejayaan dalam saingan Piala Malaysia terhadap seluruh penyokong Helang Merah.

Kedah sudah 12 kali mara ke final piala berprestij itu sejak kali pertama 47 tahun lalu yang menyaksikan mereka tewas 0-2 kepada Singapura.

Juara lima kali Piala Malaysia itu menyasarkan untuk mara ke final buat kali ketiga berturut-turut selepas tewas 0-2 kepada Selangor pada 2015 sebelum menewaskan pasukan sama menerusi penentuan penalti pada final musim lalu.

“Bagi saya, ia pasti menarik untuk merangkul satu lagi kejuaraan yang pasti memberi makna yang cukup besar buat warga Kedah,” kata Baddrol yang pernah mengecapi kejayaan Piala Malaysia bersama Kedah pada 2007, 2008 dan 2016.

Kedah akan berkunjung ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka untuk berdepan FELDA United bagi separuh akhir pertama, malam esok sebelum aksi timbal balik di Alor Setar pada 21 Oktober ini.

Selepas menewaskan Pahang 3-2 pada final Piala FA musim ini, skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff itu berpeluang untuk merangkul piala kedua.

Jika berjaya, ia turut membuktikan keputusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) melantik Nidzam sebagai pengganti Tan Cheng Hoe bagi menggalas tugas ketua jurulatih adalah tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 5:38 PM