PAK Mi  menyediakan roti canai hijau kuning  percuma kepada pelanggannya di Gerai Peladang, Kuala Ketil.
PAK Mi menyediakan roti canai hijau kuning percuma kepada pelanggannya di Gerai Peladang, Kuala Ketil.

Oleh Nor Farhani Che Ad

[email protected]

Meskipun pasukan bola sepak Kedah tidak berjaya membawa pulang Piala Malaysia 2019, namun sokongan yang ditunjukkan terhadap pasukan itu tidak pernah luntur.

Perkara itu dibuktikan seorang penjual roti canai dari Kuala Ketil di sini, Suhaimi Mat Zin atau lebih dikenali sebagai Pak Mi, 47, yang tetap menyajikan roti canai hijau kuning secara percuma kepada pelanggannya, semalam. Sebanyak 700 roti canai hijau kuning diberikan kepada pelanggan di Gerai Peladang, Kuala Ketil, mulai jam 4.30 pagi.

“Bergelar naib juara, sekali gus mengharumkan nama Kedah cukup membuatkan kami sebagai penyokong berbangga dengan pencapaian pasukan Lang Merah.

“Selain roti canai, saya turut memberikan minuman percuma, teh O dan teh O ais kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi.

Pak Mi berkata, sebanyak 32 kilogram tepung digunakan untuk menyediakan roti canai kali ini.

Katanya, tahun lalu, dia juga melakukan perkara sama ketika pasukan bola Kedah layak ke peringkat akhir Piala FA.

Menurutnya, dia meneruskan hajat untuk memberikan roti canai percuma sejak Kedah mara ke Final Piala Malaysia tahun ini.

“Selain roti canai, kakak ipar, Rusnani Ishak, 63, yang berniaga di gerai saya juga turut memberikan nasi lemak hijau kuning percuma kepada pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 6:01 AM