KAIN rentang yang akan dibawa ke stadium malam ini.
KAIN rentang yang akan dibawa ke stadium malam ini.
PENYOKONG Selangor Jalan Kebun tak sabar beri sokongan kepada pemain.
PENYOKONG Selangor Jalan Kebun tak sabar beri sokongan kepada pemain.
Ayusliza Azizan


Shah Alam: Kira-kira 200 ahli kelab penyokong bola sepak Red Giants Jalan Kebun di sini, yakin Selangor bakal menjuarai Piala Malaysia sekali gus memberi hadiah bermakna buat Tengku Amir Shah yang baru ditabalkan Raja Muda Selangor, baru-baru ini.

Penyelarasnya Shahrizal Md Sari berkata, beliau berharap pasukan itu akan melakukan persembahan terbaik ketika menentang Kedah malam ini.

“Kami akan memberi sokongan penuh dan yakin Selangor akan menang atas usaha keras ditunjukkan setiap pemain.

“Penyokong yang hadir juga diharap dapat menjaga adab, menunjukkan semangat juang tinggi dan tidak membawa barang terlarang ke dalam stadium,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan 100 tiket bola dan kain rentang gergasi kepada penyokong Selangor di sini, semalam.

Kain rentang berukuran kira-kira 20 x 6 meter itu ditempah khas bagi menyemarakkan bahang perlawanan final kali ini.

Pada majlis itu, penyokong yang hadir turut berkonvoi sejauh lima kilometer sambil menyarung jersi dan membawa bendera Selangor beramai-ramai di sekitar Jalan Kebun berkenaan.

Sementara itu, penyokong tegar Red Giants yang mempunyai rupa seiras pemain kesayangannya, Andik Vermansyah kelihatan teruja kerana berjaya memperoleh tiket menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

Kusyadi Suyandi, 24, berkata minatnya yang mendalam terhadap pasukan itu menyebabkan majikannya menunaikan janji menaja tiket sekiranya Selangor ke final.

“Saya tidak sabar menyaksikan aksi perlawanan esok (hari ini) terutama Andik yang pastinya akan menunjukkan teknik permainan terbaik.

“Majikan saya turut menaja enam lagi rakan sekerja lain dan membenarkan kami bekerja separuh hari bagi membuat persediaan sebelum menyaksikan perlawanan itu,” kata pembantu pasar itu.

Bagi seorang lagi penyokong, Azlina Nasarudin, 31, dia gembira kerana berpeluang menonton perlawanan akhir di stadium pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:10 AM