SHAFIEN menunjukkan laluan masuk para penonton sempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia 2017 antara pasukan Kedah menentang pasukan Johor Darul Takzim di Stadium Shah Alam. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
SHAFIEN menunjukkan laluan masuk para penonton sempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia 2017 antara pasukan Kedah menentang pasukan Johor Darul Takzim di Stadium Shah Alam. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Iskandar Shah Mohamed


POLIS memberi amaran kepada penyokong supaya tidak membawa bahan terlarang terutama bahan letupan dan senjata pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Barangan yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke stadium itu termasuk suar, batang besi atau kayu, pemetik api, payung dan botol air minuman.

Selain itu, ia membabitkan sepanduk dan kain rentang berbaur hasutan, provokasi dan politik, serta hanya 10 gendang boleh digunakan sepanjang perlawanan itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya tidak mahu insiden remaja lelaki yang ditahan kerana membaling mercun ketika perlawanan bola sepak Sukan SEA di stadium sama, Ogos lalu, berulang.

"Justeru, kita akan menempatkan lebih 1,500 pegawai dan anggota polis termasuk pasukan khas, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Berkuda untuk mengawal keselamatan secara menyeluruh di kawasan stadium itu.

"Pemeriksaan dan tapisan rapi akan turut dijalankan di setiap pintu masuk bagi mengelak penyokong membawa bahan terlarang. Tindakan tegas akan diambil jika mereka didapati melakukan kesalahan itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat akhir keselamatan final antara Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pertandingan itu yang juga Ketua Pegawai Operasi Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Mohd Shazli Shaik Mohd dan Ketua Pegawai Operasi TicketHotline, Datuk Zairil Ayu Ibrahim.

Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira 75,000 penyokong kedua-dua pasukan akan membanjiri lokasi berkenaan dan pintu stadium akan mula dibuka pada 4 petang.

Sementara itu, Zairil berkata, pihaknya setakat ini belum mengesan kes tiket palsu berikutan tiket asal yang dijual mempunyai ciri keselamatan khas seperti hologram dan imbasan sinar UV.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 3:52 PM