ZARUL pastikan ada masa untuk bersenam selain ambil berat pemakanan harian.
ZARUL pastikan ada masa untuk bersenam selain ambil berat pemakanan harian.
Norhayati Nordin


Tampil segak dan bergaya, mungkin ramai tidak tahu penyanyi yang popular dengan lagu Ramalanku Benar Belaka, Zarul Umbrella, 43, pernah berhadapan masalah berat badan.

Pengalaman itu dilalui pada 2009 sehingga 2011 hingga dia dilabel obes apabila berat badannya ketika itu mencecah 80 kilogram.

Gara-gara keadaannya itu, Zarul menjadi perhatian majikan dan ditegur kerana tidak menjaga penampilan. Atas kesedaran itu, Zarul atau Zarulkefli Husin berazam menurunkan berat badan.

Dia akui tugasnya sebagai pramugara yang disandang sejak 16 tahun lalu memang perlu peka terhadap penjagaan penampilan diri.

Katanya, tuntutan kerjaya di awan biru memang memerlukan dia sentiasa tampak segak dan bergaya. Apatah lagi, harus berurusan dengan penumpang dalam pesawat.

“Cuma pada 2009 mungkin dugaan buat saya apabila kurang memberi perhatian pada penjagaan pemakanan harian. Selepas menghadiri kelas intensif, saya mula sedar betapa pentingnya menjaga kesihatan terutama makanan yang diambil,” katanya.

Penyanyi yang pernah popular pada era 1990-an bersama kumpulan Umbrella berkata, dia kini berusaha mengekalkan berat badan sedia ada antara 68 hingga 70 kilogram.

Ditambah pula faktor usia sekarang melewati 40 tahun membuatkan, bapa kepada seorang anak ini perlu mengutamakan penjagaan kesihatan diri.

“Kini saya pastikan selalu ada kelapangan masa untuk bersenam selain begitu menitikberatkan pengambilan makanan harian.

“Apapun, saya memang mengelak makanan segera, produk sejuk beku termasuk makanan yang diproses atau sudah ditinkan,” katanya.

Mengenai penampilan pula, penyanyi asal Kajang, Selangor ini akui tidak terlalu cerewet dan bersikap sangat memilih apabila membeli pakaian.

Katanya, dia memang suka sentiasa tampil segak dan bergaya walaupun sudah berusia apatah lagi sebagai selebriti dikenali masyarakat dan ada peminat, penampilan segak harus diberi keutamaan kerana menjadi ikutan.

“Apa pun, apa yang penting pakaian digayakan sesuai dengan tema majlis dihadiri dan selesa dipakai. Itu sudah cukup buat saya,” katanya.

Untuk penjagaan vokal pula, Zarul yang merakamkan dua album bersama Umbrella, Seribu Rahmat (1995) dan Hujan Panas (1997), amalkan banyak minum air suam.

Katanya, walaupun lama tidak menyanyi tetapi minat terhadap seni tidak pernah pudar. Kini apabila menyertai persaingan Gegar Vaganza 3 (GV3), dia akur perlu mengikuti kelas vokal.

“Saya perlu mengasah semula mutu vokal dan kini mendapatkan khidmat guru vokal Cikgu Sharul AF. Dalam kelas Cikgu Sharul, saya banyak mendapat tip dan memperbetulkan teknik nyanyian terutama pernafasan,” katanya.

Zarul juga rajin bersukan. Katanya, selagi termampu dia akan terus berusaha memberikan persembahan terbaik. Baginya, kalah atau menang adat bertanding dan dia selesa ambil pendekatan positif.

Untuk menyertai GV3 ini, Zarul mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan daripada majikan untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap program ini.

Minggu lalu persembahan Zarul menerusi lagu Untukmu Selamanya (Visa) mendapat pujian dan malam ini meneruskan cabaran menyanyikan lagu popular OAG, Generasiku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:06 AM