WANITA memotong daging lembu. FOTO Aizudin Saad
WANITA memotong daging lembu. FOTO Aizudin Saad
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Rewang atau gotong-royong adalah tradisi turun-temurun yang diamalkan masyarakat terdahulu di luar bandar.

Lazimnya, amalan ini dibuat untuk mengadakan majlis seperti kenduri perkahwinan atau keramaian yang membabitkan komuniti setempat.

Namun, selepas kemerdekaan, berlaku perubahan landskap demografi penduduk apabila ramai berpindah dan menetap di bandar atau pinggir bandar.

Kebanyakan menghuni perumahan bertingkat seperti pangsapuri dan flat, tetapi keharmonian serta nilai positif daripada kehidupan berkomuniti tidak selalu diamalkan di bandar.

Senario itu akan melunturkan nilai Timur yang seterusnya mewujudkan gaya hidup lebih berpaksikan materialistik dan individualistik dalam kalangan penduduk bandar hingga ada kalanya mengabaikan nilai kehidupan berkomuniti.

PENDUDUK mengangkat daging lembu yang sudah dilapah. FOTO Aizudin Saad
PENDUDUK mengangkat daging lembu yang sudah dilapah. FOTO Aizudin Saad

Justeru, bagi menyuburkan kembali amalan rewang, Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) menganjurkan Program Rewang Komuniti Strata Negeri Selangor bertemakan Rewang Komuniti Ke Arah Kelestarian Pangsapuri Bandar.

Ia dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari. Tahun ini, siri program berkenaan diadakan secara jelajah membabitkan gugusan pangsapuri di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Pandan Indah, Sungai Tua dan Pelabuhan Klang.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata, program itu julung kali diadakan diisi dengan aktiviti seperti bergotong-royong melapah dua lembu dan memasak disertai penduduk.

Menurutnya, aktiviti lain antaranya pendedahan dan perkongsian berkaitan perumahan strata, pendidikan kekeluargaan, forum perdana serta ziarah kasih.

"Program ini menyasarkan pembabitan komuniti perumahan pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah dengan beberapa tujuan.

AMIRUDDIN (kanan) melapah lembu. FOTO Aizudin Saad
AMIRUDDIN (kanan) melapah lembu. FOTO Aizudin Saad

"Antaranya ialah memperbaiki hubungan sosial, mewujudkan perasaan kebersamaan dan keterlibatan dalam komuniti.

"Tujuan kedua ialah mengangkat potensi dan keunikan setempat sama ada daripada sudut ekonomi, kebudayaan, sukan, kemahiran serta sebagainya.

"Seterusnya tujuan ketiga adalah memupuk kembali budaya dan tradisi bergotong-royong dalam kalangan anggota komuniti," katanya.

Seorang penduduk Blok L18, Flat Pandan Jaya, Norzaini Mohamad, 59, berkata, penduduk teruja apabila Dun Pandan Indah terpilih dalam penganjuran program berkenaan yang pertama kali diadakan secara besar-besaran.

Menurutnya, persiapan dilakukan selama seminggu dan penduduk memberikan kerjasama yang baik bagi memastikan kelancaran program.

"Saya memanggil rakan wanita yang aktif dalam aktiviti rewang bagi memotong daging untuk dimasak kari.

"Penduduk lelaki pula ditugaskan melapah lembu dan melakukan tugas berat lain," katanya.

PERMAINAN baling tin untuk kanak-kanak. FOTO Aizudin Saad
PERMAINAN baling tin untuk kanak-kanak. FOTO Aizudin Saad

Katanya, meskipun tinggal di bandar, setiap penduduk mengambil peranan masing-masing untuk terus menghidupkan aktiviti rewang di kawasan kejiranan mereka.

"Aktiviti seperti ini sangat penting kerana dapat mewujudkan sikap tolong-menolong dan kerjasama antara satu sama lain.

"Banyak nilai murni daripada amalan rewang selain memupuk sikap positif yang membolehkan masyarakat hidup harmoni, tenteram, aman dan damai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 7:00 AM