Oleh Rudy Imran Shamsudin

Tampil dengan lagu Satu Rasa memberi petanda bekas penyanyi kumpulan Umbrella, Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin serius dengan kerjaya yang pernah dibina sebelum ini, cuma bezanya dia kini bergerak solo.

Tidak mahu terlalu drastik dalam menempatkan dirinya kembali dalam industri muzik tempatan, Zarul mencuba tampil secara duet dengan penyanyi dan pelakon, Marsha Milan Londoh.

Ternyata paduan suara antara Zarul dan Marsha mendapat perhatian apabila nama mereka dipertandingkan bagi Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21) dalam kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu.

Turut dicalonkan dalam kategori sama ialah Sleeq dan Joe Flizzow menerusi lagu Tepi Sikit; Nora bersama Mosyi, Alif dan Putri (Selamanya Bahagia), Ila Damia menampilkan Joe Flizzow (Di Sebalik) dan juga Adibah Noor dan Nizam (Bahasa Rindu).

Ia kategori baru khusus untuk lagu duet atau penampilan sementara Vokal Terbaik Berkumpulan Dalam Lagu khusus untuk artis berkumpulan.

Digandingkan bersama dalam sesi fotografi khas untuk mempromosikan AIM21 yang bakal berlangsung 6 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Zarul menjelaskan, pencalonan diterima dianggap tuah apabila membuat kemunculan semula menerusi Satu Rasa.

"AIM bukan asing buat saya kerana sewaktu menganggotai Umbrella dulu, kami pernah menerima pencalonan dalam kategori Kumpulan Baru Terbaik dan waktu itu bersaing dengan KOOL dan Shades.

"Cuma bezanya pencalonan kali ini, saya bergerak solo dan penghasilan Satu Rasa juga dibiayai sendiri. Menilai dari sudut itu, tentu saya bangga dengan pencalonan yang disifatkan sebagai kejayaan awal," katanya.

Lebih membanggakan Zarul apabila duetnya bersama Marsha dinilai dari sudut vokal dan itu memberikan impak lebih. Untuk lagu ini, Zarul mendapat bimbingan vokal Toi Hyperact untuk menjaga vokalnya.

Katanya, Marsha juga melaksanakan tugasnya dengan cemerlang dan bangga dengan komitmen diberi hingga membawa mereka ke AIM2014.

Sebagai penyanyi, Marsha akui dia mahu karyanya sendiri dicalonkan di AIM, tetapi peluang itu belum diperoleh.

"Pada saya, lagu duet bersama Zarul menjadi pembuka jalan dan diharapkan selepas ini saya boleh mendapat pencalonan menerusi lagu yang saya dendangkan sendiri sepenuhnya.

"Saya juga mengharapkan Satu Rasa mendapat pengiktirafan di AIM21 bagi meraikan kembalinya Zarul dalam industri muzik tempatan," katanya.

Marsha bangga dapat menyumbang dan menjayakan Satu Rasa bersama Zarul kerana ia menjadi gabungan dua generasi yang sangat baik.

"Ia gabungan penyanyi lama dan baru. Cuma saya mengharapkan penghargaan bakal diterima Satu Rasa akan meletakkan kembali Zarul dalam industri muzik tempatan dan seterusnya berkembang serta pergi lebih jauh," katanya.

Perasaan sama turut dikongsi Filsuf atau nama sebenarnya Fadali Mohd Darif yang sebelum ini lebih dikenali dengan nama Dali sewaktu menganggotai kumpulan Ahli Fikir.

Katanya, sejak bergerak solo dan tampil dengan nama Filsuf, kerjaya seninya berkembang dengan baik. Malah, beberapa single dihasilkan mendapat perhatian umum, termasuk kolaborasinya bersama Haiza.

Filsuf dan Haiza dicalonkan dalam kategori Lagu Hip Hop Terbaik menerusi lagu Karena. Turut bersaing dalam kategori ini ialah Joe Flizzow menampilkan SonaOne menerusi lagu Apa Khabar, Joe Flizzow menampilkan Altimet dan SonaOne (Havoc), Altimet menampilkan The Trisno Trio (Hello) dan Sleeq juga Joe Flizzow (Tepi Sikit).

Filsuf akui tidak tahu akan digandingkan dengan Haiza dalam lagu Karena. Katanya, ketika dihubungi penerbit lagu itu, Damian Mikhail tidak dimaklumkan mengenainya. Malah, rakaman dibuat berasingan dan Damian datang ke Singapura bagi merakamkan Karena ketika itu.

"Selepas enam bulan dan apabila saya datang Kuala Lumpur dan mendengar lagu itu di radio, saya terkejut. Ternyata sebagai penerbit, bagi saya Damian sangat bijak. Ia satu kolaborasi menarik dan berbeza apabila Haiza tampil menyanyikan Karena.

"Jika tidak, momentum lagu ini biasa saja dan kehadiran Haiza sesuatu di luar dugaan," katanya.

Haiza pula berasa gembira dengan pencalonan itu, apatah lagi sepanjang 20 tahun pembabitannya sebagai penyanyi, ini kali pertama dia dicalonkan dalam AIM.

Penyanyi dangdut dan popular melalui Dug Dig Dug itu berkata, pencalonannya sesuatu yang tidak diduga.

"Bayangkan saya dikenali sebagai penyanyi dangdut sepanjang kerjaya seni saya tetapi mendapat pencalonan di AIM dalam kategori Hip Hop.

"Ia pencapaian peribadi yang membanggakan. Tambah pula kalau dilihat dalam senarai bertanding, saya satu-satunya calon wanita," katanya.

Kata Haiza, dia berasa bertuah apabila lagu Karena mendapat perhatian pendengar juga juri AIM21 memandangkan bermula 2009 dia bergerak sendiri dan jarang mendapat perhatian umum.

"Saya banyak belajar daripada kesilapan lalu kerana lagu dihasilkan tidak menepati cita rasa pendengar sekarang. Berbeza dengan Karena kerana ia menampilkan sisi berbeza saya sebagai penyanyi.

"Hendak diikutkan, saya tidak berubah sepenuhnya dari sudut penyampaian, apatah lagi unsur Melayu dalam single terbaru ini kuat.

"Apabila ia diolah dengan baik oleh penciptanya, ia kedengaran segar tetapi tidak meminggirkan unsur tempatan. Mungkin ia juga menjadi faktor mengapa Kerana mendapat pencalonan di AIM kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:03 AM