TENAGA pengajar menunjukkan demonstrasi urutan.
TENAGA pengajar menunjukkan demonstrasi urutan.
Muhamaad Razis Ismail


"KURSUS ini banyak membantu menambah ilmu dan kemahiran urutan terapi sukan dan terapi kesihatan fizikal," kata Norhayati Sarnoh, 40, yang mengalami masalah penglihatan.

Norhayati antara 82 peserta yang menamatkan Kursus Urutan Sukan Tahap Satu dan Terapi Kesihatan Fizikal baru- baru ini.

Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan & Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan Barakah Medical Centre menjalinkan kerjasama dalam penganjuran Kursus Urutan Sukan bermula pada 2021.

Sejak itu, 82 peserta yang terdiri daripada graduan Sijil Kemahiran Malaysia bagi program Urut Terapi dan Refleksologi Tahap 3 berjaya menamatkan kursus Tahap Satu dan seramai 16 peserta meneruskan latihan lanjut bagi kursus Terapi Kesihatan Fizikal.

Norhayati yang juga antara tenaga pengajar di MAB berkata, sepanjang kursus terbabit dilaksanakan pelbagai perkara baharu dipelajari mengenai teknik urutan daripada doktor yang lebih berpengalaman.

Katanya, peserta diajar dengan lebih mendalam berkenaan anggota badan termasuk otot, tendon dan ligamen yang perlu dititikberatkan untuk menjadikan urutan lebih efisien.

"Saya mula terbabit dengan kursus urutan sukan tahap satu pada 2021 sebelum melanjutkan kepada terapi kesihatan fizikal pada tahun lalu.

"Ilmu yang diperoleh melalui kedua-dua kursus ini banyak membantu untuk saya mengajar pelajar di sini (MAB).

"Secara keseluruhan, saya boleh katakan, kursus ini amat sesuai untuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan seperti kami memperoleh ilmu baharu dan meningkatkan kemahiran urutan sekali gus dapat menjana pendapatan," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kursus dan Buku Braille Physical Health Therapy oleh Ketua Cawangan Jemaah Doktor dan Pandangan Perubatan, Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Dr Edrin Nazri Abdul Rasib mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed baru-baru ini.

PELANCARAN Buku Braille Physical Health Therapy oleh Dr Edrin Nazri (tengah) untuk membantu lebih ramai OKU penglihatan mengikuti kursus lanjutan Terapi Kesihatan.
PELANCARAN Buku Braille Physical Health Therapy oleh Dr Edrin Nazri (tengah) untuk membantu lebih ramai OKU penglihatan mengikuti kursus lanjutan Terapi Kesihatan.

Penerbitan buku ini akan menjadi rujukan dan kegunaan bagi mereka yang mengikuti kursus lanjutan Physical Health Therapy.

Hadir sama, Dekan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi UiTM, Profesor Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Datuk George Thomas.

Sementara itu, George dalam ucapannya berkata, juruurut dalam kalangan OKU penglihatan perlu meningkatkan kemahiran dalam bidang urutan sukan bagi memberi peluang yang lebih luas kepada mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Pendedahan dan latihan berstruktur daripada pakar-pakar yang terbabit melalui modul yang diguna pakai dapat membantu peserta mengaplikasikan teknik urutan dengan segera dan berkesan.

"Adalah menjadi matlamat utama supaya program ini dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan peserta yang terbabit.

"Justeru, pembabitan dan sokongan dari pelbagai pihak dalam membiayai aktiviti kursus yang berkait rapat dengan belia dan keperluan atlet sukan amat diharapkan dalam memastikan matlamat ini dapat dicapai," katanya.

Menurutnya, pada tahun ini, sebanyak tiga siri Kursus Urutan Sukan Tahap Satu dan dua bagi kursus profesional Terapi Kesihatan Fizikal sudah dirancang dengan sasaran sekurang-kurangnya 50 lagi juruurut OKU penglihatan dapat dipersijilkan.

"Juruurut mempunyai prospek pekerjaan yang tinggi, sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa.

"Ini kerana negara lain mengiktiraf tenaga kerja kepakaran tempatan sebagai berpengetahuan tinggi dan berkemahiran tinggi dalam industri kesihatan. Ini seterusnya meningkatkan permintaan tenaga mahir dalam bidang ini untuk diambil bekerja di peringkat tempatan atau antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 6:30 AM