OSTEOARTHRITIS lutut menjejaskan lebih 10 hingga 20 peratus populasi dewasa Malaysia.
OSTEOARTHRITIS lutut menjejaskan lebih 10 hingga 20 peratus populasi dewasa Malaysia.
Muhamaad Razis Ismail

OSTEOARTRITIS (OA) sejenis penyakit sendi degeneratif yang menjejaskan kehidupan jutaan orang di seluruh dunia terutama memberi kesan ketara kepada mobiliti dan kualiti hidup penghidap.

Penyakit artritis ini biasanya dilihat berlaku kepada individu yang lebih berusia dan menjejaskan sendi di bahagian lutut, pinggul dan tangan.

Jenis OA yang paling biasa berlaku ialah osteoarthritis lutut yang menjejaskan lebih 10 hingga 20 peratus populasi dewasa Malaysia.

Menurut analisis yang dijalankan Beijing Osteoarthritis Study, orang Asia lebih terdedah untuk mendapat OA lutut berbanding OA pinggul yang lebih biasa berlaku kepada populasi Barat yang disebabkan pelbagai faktor seperti perbezaan struktur badan, pilihan gaya hidup dan pengaruh persekitaran.

Selain itu, tabiat pemakanan, obesiti dan aktiviti berkaitan kerja yang membabitkan pergerakan berulang juga boleh menyebabkan OA lutut kerap berlaku dalam kalangan orang Asia.

Walaupun penuaan kekal sebagai faktor risiko utama OA lutut, individu yang lebih muda juga mungkin berisiko jika mereka pernah mengalami kecederaan sendi seperti patah tulang atau ketegangan, kerana ini boleh mempercepatkan degenerasi rawan.

Dengan melakukan aktiviti sukan berimpak tinggi seperti larian, bola keranjang dan tenis juga boleh meningkatkan risiko OA lutut dalam kalangan golongan muda kerana aktiviti ini boleh menyebabkan sendi mengalami beban mekanikal yang berlebihan dan ketegangan berulang, menyebabkan kerosakan pada rawan dan sendi seiring masa.

Selain itu, individu yang mempunyai masalah sendi yang sedia ada seperti rheumatoid arthritis, gout atau penyakit metabolik seperti diabetes berisiko tinggi untuk mendapat OA lutut.

Pakar Perunding Ortopedik, Trauma, Artroplasti dan Robotik di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Yuen Jin Chuan berkata, jantina dan genetik juga boleh menjadi faktor penyumbang kepada OA lutut.

"Sejarah keluarga dengan keabnormalan sendi kecil atau hipermobiliti (mempunyai sendi berganda) boleh meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat osteoartritis lutut.

"Wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding lelaki yang disebabkan faktor hormon dan perbezaan biomekanik sendi.

"Antara simptom OA lutut yang perlu diberi perhatian termasuk kekakuan (stiffness) pada lutut, rasa sakit ketika berdiri atau berjalan jarak pendek serta bengkak pada sendi lutut," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko OA lutut termasuk mengekalkan berat badan yang sihat untuk mengurangkan ketegangan sendi dan menambah makanan mesra sendi seperti ikan, kekacang dan sayur hijau dan buah beri ke dalam diet anda.

DENGAN melakukan aktiviti sukan berimpak tinggi boleh meningkatkan risiko OA lutut dalam kalangan golongan muda.
DENGAN melakukan aktiviti sukan berimpak tinggi boleh meningkatkan risiko OA lutut dalam kalangan golongan muda.

"Selain daripada pengurusan berat badan dan diet seimbang, pengambilan suplemen seperti asid lemak omega 3 dan glucosamine juga boleh membantu mengurangkan risiko mendapat osteoartritis lutut," katanya.

Dr Yuen berkata, aktiviti senaman perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada rutin harian anda untuk mencegah OA lutut.

"Dengan melakukan aktiviti berimpak rendah seperti berenang, berbasikal dan yoga sebenarnya boleh membantu mengekalkan fleksibiliti dan kestabilan sendi sambil menguatkan otot tanpa meletakkan terlalu banyak tekanan.

"Selain itu, perubahan kecil dalam gaya hidup dan aktiviti seharian seperti mengamalkan postur yang baik, berhati-hati ketika mengangkat objek berat dan memastikan rehat yang mencukupi juga boleh dilakukan untuk mengelakkan OA lutut," katanya.

Tambahnya terdapat pelbagai pilihan untuk merawat osteoartritis lutut termasuk ubat-ubatan seperti suntikan kondroitin, steroid dan asid hyaluronik serta prosedur invasif minimum yang dikenali sebagai ablasi radio frekuensi yang menyasarkan saraf di sekeliling sendi.

"Bagaimanapun, adalah penting untuk menyedari bahawa walaupun rawatan ini boleh memberikan kelegaan simptom, namun OA lutut adalah penyakit yang progresif.

"Untuk merawatnya dengan berkesan dalam jangka panjang, pembedahan Penggantian Sendi Lutut (TKR) adalah alternatif yang tersedia apabila rawatan setempat tidak lagi berkesan. Pembedahan TKR boleh memberikan pesakit yang mengalami OA lutut yang teruk dengan kelegaan jangka panjang serta fungsi sendi yang lebih baik," katanya.

Salah satu pilihan rawatan adalah melalui pembedahan penggantian sendi lutut robotik yang dilaksanakan menggunakan mesin robotik MAKO yang membolehkan perancangan pembedahan yang lebih tepat dan disesuaikan mengikut keadaan pesakit melalui sistem pengimejan tiga dimensi (3D) yang akan mencipta pelan pembedahan khusus bagi setiap pesakit.

Lengan robotik akan membantu pakar bedah dalam membuat reseksi tulang, membolehkan penyelarian (alignment) yang lebih baik yang membawa kepada fungsi sendi lebih baik dan tahan lama untuk pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 7:00 AM