POSISI tunggangan santai.
POSISI tunggangan santai.
Lizam Ridzuan


Seakan-akan tidak pasti kelebihan jentera ini pada asalnya, mungkin hanya sekadar gaya sahaja. Begitulah tanggapan penulis terhadap model Triumph Speed 400 yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada April lalu.

Namun berpeluang menunggang ujinya nyata memberikan tanggapan berbeza akan jentera satu silinder dengan ciri rekaan gaya klasik moden roadster ini.

Untuk jenama itu, ini adalah model permulaan yang ideal buat yang mahu berjinak-jinak dengan motosikal jenama dari United Kingdom (UK) itu.

Model ini adalah hasil kerjasama Triumph dan Bajaj Auto, India yang sememangnya pakar dalam pembuatan jentera satu silinder.

Penulis berkesempatan menyertai acara Distinguish Gentlemans Ride (DGR 2024) ke Genting Highlands peluang terbaik untuk menunggang uji jentera Speed 400 ini.

Sebaik berada di atas motosikal ini ia bukan sahaja terasa ringan dengan berat jentera 170 kilogram (kg) malah posisi menunggang juga selesa dengan ketinggian pelana 790 milimeter (mm). Kaki penulis yang berketinggian 1.76 sentimer (sm) boleh mencecah jalan dengan baik.

Sesuai buat tunggangan dalam bandar kerana saiznya yang kompak memudahkan pergerakan terutama untuk mencelah di antara kenderaan ketika kesesakan jalan raya.

Malah ketika ke Genting menggunakan Lebuhraya Karak ia juga menawarkan kelancaran kuasa dan responsif dengan kawalan cengkaman dan pendikit Ride-By-wire.

Menerusi tukaran gear lancar enam kelajuan dengan enjin T-Series 398.15cc, sejukan cecair, 4 injap DOHC, silinder tunggal ia menghamburkan 39.5 kuasa kuda (hp) pada 8,000rpm dan tork 37.5Nm pada 6,500rpm.

Memecut dan melayan selekoh juga terasa yakin dengan rim aloi 10 jejari bersaiz 17 inci hadapan dan belakang serta suspensi hadapan terbalik (upside down) 43 milimeter (mm) fork Big Piston dan belakang penyerap hentakan tunggal gas RSU dengan larasan pramuatan.

TAMPIL gaya roadster.
TAMPIL gaya roadster.

ENJIN silinder tunggal 400cc.
ENJIN silinder tunggal 400cc.

METER analog dan digital.
METER analog dan digital.

Untuk keyakinan membrek dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwisaluran serta brek cakera empat omboh 300mm hadapan dan 230mm.

Ketika menunggang, meter motosikal gabungan analog dan digital mudah untuk dilihat dengan pelbagai maklumat pada skrin LCD selain pemegang motosikal lebar 814mm untuk pengendalian lebih selesa.

Tangki bahan api 13 liter mencatatkan penggunaan sekitar 3.5 liter untuk setiap 100 kilometer (km) menawarkan jarak perjalanan sehingga 400km, namun ia bergantung kepada corak tunggangan dan muatan.

Secara keseluruhan motosikal Triumph Speed 400 ini bukan sahaja menawarkan reka bentuk yang menarik malah dengan gaya malar segar elemen moden dan klasik.

Selain semua komponen dan enjin adalah serba baharu yang dibangunkan sepenuhnya oleh Triumph dan Bajaj Auto ia juga menawarkan prestasi tunggangan yang menarik dan ringkas selain selang servis 10,000km.

Model ini juga dengan ciri lampu hadapan, lampu nyalaan siang (DRL) dan belakang LED mudah untuk dilihat dari jauh dan pada pandangan penulis pancaran lampu hadapan motosikal tidak begitu cerah dan perlu memasang lampu tinggi untuk penglihatan lebih baik pada waktu malam.

Untuk pasaran Malaysia Speed 400 ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu merah, biru dan hitam yang dijual pada harga RM26,900 (atas jalan tanpa insurans). Selain Speed 400 turut ditawarkan model Scrambler 400 X pada harga RM29,900.

SPESIFIKASI

Triumph Speed 400

Enjin: 398.15cc, sejukan cecair, 4 injap DOHC, silinder tunggal

Kuasa maksimum: 39.5 hp pada 8,000rpm

Tork maksimum: 37.5Nm pada 6,500rpm

Transmisi: 6 kelajuan klac manual

Tangki bahan api: 13 liter

Ciri keselamatan: Sistem Brek anti-Kunci (ABS) dan Sistem Cengkaman.

Harga: RM26,900 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 6:46 AM