Thiew (kanan) menunjukkan antara senjata dan barangan yang dirampas susulan penahanan empat suspek pecah rumah. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Thiew (kanan) menunjukkan antara senjata dan barangan yang dirampas susulan penahanan empat suspek pecah rumah. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Geng pecah rumah diketuai warga Myanmar yang dipercayai aktif melakukan jenayah itu di sekitar daerah ini dan Lembah Klang, tumpas melalui penahanan empat ahlinya.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, tiga lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan itu ditahan dalam serbuan berasingan pada 11 hingga 18 Oktober lalu.

"Mereka berusia antara 18 hingga 60 tahun itu ditahan di Sikamat dan Ampang, Selangor berdasarkan siasatan dan risikan yang dilakukan. Hasil penahanan, kita merampas pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas, wang tunai, barangan elektrik dan jam tangan bernilai RM50,000.

"Kita turut menemui senjata dan peralatan pecah rumah seperti parang, pisau, tukul, pahat serta batang besi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan penahanan suspek terbabit pihaknya percaya dapat menyelesaikan 23 kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di daerah ini, Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, polis sedang giat memburu dua lagi lelaki warga Myanmar disyaki ahli geng itu bernama Md Rafik Mohd Shafi atau dikenali Botak dan Mohd Rafiq Mohd Hussein atau dikenali Rafiq.

Thiew meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua lelaki itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Seremban di talian 06-6033222.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 3:52 PM