MOTIF tumbuhan antara yang popular.
MOTIF tumbuhan antara yang popular.
FUNGSI wakaf atau gazebo ini kini dipelbagaikan.
FUNGSI wakaf atau gazebo ini kini dipelbagaikan.
KERJA menghasilkan motif.
KERJA menghasilkan motif.
Oleh Hartini Mohd Nawi

Mencipta ruang santai yang lebih menarik dan memberikan manfaat buat tetamu dan keluarga antara impian setiap pemilik kediaman.

Dalam setiap konsep taman, kehadiran wakaf atau gazebo yang dijadikan tempat berehat sudah menjadi keperluan, selain menambahkan seri.

Malah, dalam memilih elemen penting itu, pastinya pelbagai aspek diteliti supaya peruntukan yang dibelanjakan lebih berbaloi dan memberikan keselesaan.

Mengambil kira keluasan dan konsep taman juga antara yang perlu supaya binaan elemen berkenaan sesuai dan tidak mengundang kesesakan.

Anda yang meminati aura tradisional atau warisan Melayu, semula jadi dan santai, lebih menarik jika menempatkan wakaf atau gazebo yang mempunyai seni ukiran.

Bagi yang mempunyai bajet tertentu boleh membuat tempahan dengan memilih material kayu binaan elemen itu daripada jenis tahan lama dan lasak.

Kita sudah maklum, apabila diletakkan di taman sudah tentu terdedah de­ngan pancaran matahari, hujan dan panas.

Susun letak landskap lembut dan kejur lain juga menyumbang kepada persekitaran segar dan mendamaikan.

Adanya kolam air berpancuran menjadi pelengkap utama dalam mengimbau kembali nostalgia desa.

Seni pertukangan wakaf atau gazebo

Menyedari kehadiran wakaf atau gazebo pada taman antara terpenting, Badrul Gallery kini menawarkan pelbagai pilihan menarik selari bajet anda.

Pengusahanya, Badrul Hisyam Mohamadan, 39, mempunyai perincian tersendiri ketika mengete­ngahkan elemen landskap kejur itu.

Minat mendalam terhadap seni pertukangan kayu juga banyak mendorong anak muda ini untuk ber­saing di pasaran produk taman.

"Wakaf atau gazebo menjadi lokasi santai paling sesuai sambil melihat anak bermain di taman.

"Meraikan tetamu di situ juga lebih selesa, ditambah dengan persekitaran semula jadi yang membuai rasa," katanya ketika ditemu bual sempena Program Media Turun Padang Ke Johor, baru-baru ini.

Terbabit dengan seni pertukangan kayu untuk elemen berkenaan lapan tahun lalu, pengusaha gigih ini sering mencipta kelainan.

Identiti seni pada wakaf dan gazebo itu turut diketengahkan menerusi ukiran motif tertentu dalam reka bentuk yang menitikberatkan nilai seni.

"Menerusi binaan yang begitu dekat dengan ciri ukiran rumah tradisional, saya sedaya upaya cuba menampilkan nilai estetika tidak ditelan zaman itu.

"Sering kali idea turut digabungkan dengan permintaan pelanggan tanpa mengabaikan keindahannya," katanya yang bakal membina rumah tradisional Melaka atau Pahang untuk dijadikan pejabat urusan Badrul Gallery tidak lama lagi.

Penggunaan kayu yang tahan lasak termasuk cengal, merbau, balau dan belian membuatkan produk Badrul Gallery sentiasa mendapat tempat.

"Saya melihat seni pertukangan wakaf dan gazebo ini kian mendapat sambutan jika dihasilkan secara serius serta mementingkan keperluan pelanggan," katanya yang mula 'jatuh hati' pada seni itu ketika merantau ke serata tempat dalam usia 20-an.

Badrul Hisyam berkata, cabaran dalam seni pertukangan produk itu sememangnya ada dan ia sering menguji tahap kepakaran individu yang terbabit.

"Setiap tahap penghasilannya memerlukan ketelitian dan kerja yang bersungguh-sungguh supaya hasilnya dapat memenuhi cita rasa pelanggan yang pelbagai pada hari ini," katanya.

Berminat, sila kunjungi bengkel Badrul Gallery di No 38, Lorong Bilal, Jalan Parit Semerah, Pontian, Johor atau layari facebook: badrul gallery untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:21 AM