Agensi

Bangkok: Kawasan pelacuran di Thailand kembali beroperasi kelmarin dengan pekerja seks memakai pakaian berwarna hitam sebagai tanda berkabung atas kematian Raja Bhumibol Adulyadej 10 hari lalu.

Thailand berkabung sebagai tanda bersedih selepas raja mereka meninggal dunia pada 13 Oktober lalu menyebabkan industri pelancongan negara itu terjejas.

Hiburan diharamkan selama 30 hari dengan pesta yang menjadi tarikan pelancong seperti parti bulan penuh dibatalkan dan pelancong digesa memakai pakaian berwarna hitam.

Bagaimanapun, lebih seminggu selepas kematian Bhumibol, beratus-ratus pelacur kembali muncul dengan memakai skirt pendek, baju dan but berwarna hitam sebagai tanda berkabung.

Gambar yang dirakam di Soi Cowboy di Bangkok menunjukkan pelacur yang biasanya memakai baju berwarna terang kini mengenakan pakaian hitam.

Seorang pelacur yang dikenali sebagai Lek, 26, berkata, keadaan di kawasan itu sangat sunyi kerana orang ramai masih bersedih dengan kematian Bhumibol.

“Namun, kami perlu berkerja untuk menyara kehidupan kerana kami tiada pekerjaan lain. Kami perlu keluar untuk mencari pelanggan bagi mendapatkan wang.

“Kami memakai but dan pakaian hitam sebagai tanda penghormatan kepada raja. Mungkin dalam tempoh dua minggu lagi keadaan di sini kembali seperti biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 12:01 PM