Reuters

Bangkok: Baju berwarna merah dengan sulaman emas dan aksesori berwarna-warni adalah pakaian yang biasanya dipakai etnik Cina di Thailand ketika perayaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut tidak lama lagi.

Bagi masyarakat Cina, warna terang terutama sekali merah dipercayai boleh menghalau roh jahat dan membawa tuah.

Bagaimanapun, pada tahun ini, memakai baju berwarna terang dianggap tidak menghormati ketika kebanyakan rakyat Thai masih memakai baju hitam atau putih sebagai tanda berkabung atas kematian Raja Bhumibol Adulyadej.

Tempoh berkabung 100 hari susulan kematian Bhumibol pada 13 Oktober lalu berakhir pada Jumaat lalu tetapi rakyat Thai masih ramai memakai baju berwarna gelap.

Seorang penduduk, Suvannee Suttilertkun berkata, dia memilih baju tradisional Cina berwarna gelap dengan sulaman emas pada perayaan itu.

“Kami masih perlu menunjukkan rasa hormat kerana kami masih berkabung atas kematian Raja Rama IX,” katanya yang merujuk gelaran rasmi Bhumibol.

Bhumibol yang memerintah selama tujuh dekad sangat disayangi rakyat negara itu dan takhta itu kini diwarisi anaknya, Raja Maha Vajiralongkorn, pada Disember lalu.

Namun, sebilangan penduduk Thai seperti Tanagrit Leartskritanapa, 60, tetap memilih pakaian berwarna merah terang untuk perayaan itu.

“Kebanyakan penduduk faham ini adalah Tahun Baru Cina dan kami perlu memakai baju berwarna terang untuk membawa tuah dalam kehidupan kami.

“Pada masa yang sama kami masih bersedih dan tidak melupakan raja kami yang tetap diingati di hati kami,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 8:34 AM