ANGGOTA tentera dan pegawai istana membuat latihan untuk upacara pembakaran mayat diraja berhampiran Istana Besar di Bangkok semalam. - Reuters
ANGGOTA tentera dan pegawai istana membuat latihan untuk upacara pembakaran mayat diraja berhampiran Istana Besar di Bangkok semalam. - Reuters
AFP

Bangkok: Kerajaan Thailand menggesa rakyat negara itu memakai baju hitam atau putih dan program hiburan dibuat secara tertutup menjelang upacara pembakaran mayat mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.

Bhumibol meninggal dunia pada Oktober 2016 pada usia 88 tahun dan mayatnya ditempatkan di Istana Besar untuk membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha pada malam kelmarin menggesa orang ramai mematuhi garis panduan berkabung menjelang upacara pembakaran mayat diraja pada 26 Oktober ini.

Prayut juga meminta stesen televisyen dan lokasi hiburan tidak menganjurkan acara hiburan berlebihan.

“Kami meminta anda mengehadkan atau menghentikan sebarang aktiviti hiburan sepanjang bulan ini bagi menghormati perasaan dan sentimen rakyat ketika ini,” katanya.

Pada bulan lalu, pihak berkuasa mengeluarkan garis panduan kepada semua stesen televisyen termasuk arahan menyiarkan program bagi memperingati Bhumibol.

Semua stesen televisyen juga perlu mengurangkan kecerahan warna kepada 40 peratus.

Arahan sama juga dibuat pada bulan pertama kematian Bhumibol apabila semua rancangan stesen televisyen digantikan dengan program hitam putih yang memperingati raja itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 2:43 AM