PESERTA yang menyertai kempen Kesedaran Kanser Payudara.
PESERTA yang menyertai kempen Kesedaran Kanser Payudara.
Siti Zarinah Sahib

Berdasarkan Penyelidikan Kanser Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 2015, kira-kira 5,000 wanita Malaysia berumur di antara 30 dan 60 tahun disahkan menghidap kanser payudara setiap tahun. Ini bermakna seorang daripada 19 wanita Malaysia berisiko mendapat penyakit itu.

Menurut Pakar Bedah Endokrin Payudara Hospital Pantai Cheras (PHC) Dr Suziah Mokhtar, pengesanan awal kanser payudara penting bagi membolehkan rawatan diteruskan dengan jayanya.

“Oleh itu saya menyeru semua wanita Malaysia mengambil langkah pertama hari ini, melihat tanda, sama ada ia peningkatan saiz payudara atau tekstur, ketulan menyakitkan, bengkak pada lengan atau puting terbalik.

“Jika anda mendapati sebarang keabnormalan atau perubahan payudara anda, segera ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Lebih cepat anda mengesan penyakit ini, lebih tinggi peluang untuk hidup,” katanya.

Sempena bulan Kesedaran Kanser Payudara, PHC turut mengadakan kempen Payung Merah Jambu 2016 buat kali keempat baru-baru ini.

Lebih 500 orang mengambil bahagian dalam aktiviti berjalan kaki sejauh 1.3 kilometer bermula dari Hospital Pantai Cheras ke Cheras Leisure Mall. Sambil membawa payung merah jambu, acara ini bertujuan menggalakkan pengesanan awal kanser payudara menerusi diagnosis untuk memastikan peluang yang lebih tinggi bagi meneruskan kehidupan.

Bertemakan Cinta Hidup Melawan Kanser, acara yang dirasmikan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, menarik sokongan organisasi bukan kerajaan, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) serta syarikat seperti Fitness First, SaSa dan Wyeth Nutrition.

Tan menyeru rakyat Malaysia terutama penduduk Cheras, menyertai jutaan orang di seluruh dunia menyokong kesedaran kanser payudara dengan mengambil bahagian dalam aktiviti berjalan kaki Payung Merah Jambu anjuran hospital berkenaan yang diadakan setiap tahun.

“Statistik mengenai kanser payudara adalah membimbangkan. Acara komuniti ini menjadi platform untuk mendidik orang ramai daripada semua lapisan kehidupan supaya membuat pengesanan awal kanser,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Cheras Rachel Yew berkata, pengesanan awal kanser payudara sangat penting bagi menyelamatkan nyawa. Acara komuniti seperti Payung Merah Jambu ini dapat meningkatkan kesedaran awam serta memberi maklumat mengenai penjagaan kesihatan.

Pada majlis itu, hospital terbabit menyediakan bilik kesihatan agar orang ramai dapat membuat pemeriksaan sendiri mengenai sebarang perbezaan pada payudara mereka. Hospital juga menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma seperti pemeriksaan tekanan darah, glukosa dan indeks jisim badan (BMI).

Peserta juga menikmati pensampelan kesihatan dan kecantikan yang diadakan oleh SaSa, FINE, Kinohimitsu, produk Koji dan Wyeth Nutrition. SaSa turut menderma RM131,140 kepada BCWA menerusi hasil jualan mereka di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 11:45 AM