Kuala Lumpur: Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) menyambut baik keputusan kerajaan untuk melanjutkan permit pekerja asing berdaftar di bawah Program 6P selama setahun lagi.

Presidennya, Matthew Tee berkata, lanjutan tempoh itu akan mengurangkan beban yang ditanggung oleh industri pembinaan disebabkan kekurangan tenaga kerja asing.

“Bagaimanapun, MBAM juga merayu kepada kerajaan agar menyediakan saluran untuk kontraktor mengambil pekerja baru bagi menggantikan mereka yang terbabit di bawah Program 6P pada kadar segera.

“Sebaiknya pekerja asing di bawah Program 6P yang dihantar balik, diambil semula sebagai pekerja asing berkemahiran yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Tee juga menggesa kerajaan mempermudah proses pengambilan pekerja asing bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di Malaysia.

Katanya, tempoh proses dari enam hingga lapan bulan sekarang akan menjejaskan perjalanan projek yang sedang berlangsung.

Kelmarin, Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim mengumumkan keputusan itu berkuat kuasa serta-merta membabitkan 352,493 pekerja asing di bawah Program 6P.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:07 AM