PEGAWAI imigresen memeriksa dokumen pekerja asing di sebuah rumah di Taman Perak yang dijadikan asrama  dalam Operasi Penguatkuasaan Akta 446. FOTO Amran Hamid
PEGAWAI imigresen memeriksa dokumen pekerja asing di sebuah rumah di Taman Perak yang dijadikan asrama dalam Operasi Penguatkuasaan Akta 446. FOTO Amran Hamid
M Hifzuddin Ikhsan


Kulim: Pemeriksaan mengejut Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ke atas asrama pekerja warga asing berdekatan Kawasan Industri Kulim di sini, hari ini, mengesan berlaku pelanggaran peraturan apabila bahagian dapur dan ruang tamu rumah dijadikan tempat tidur.

Dalam operasi bermula pada 10 pagi tadi, dua asrama menempatkan pekerja kilang papan dan membuat peralatan pejabat didapati melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kemudahan asrama yang disediakan majikan sepatutnya mempunyai persekitaran selamat dan kondusif untuk setiap pekerja berehat serta tinggal di negara ini.

Jelasnya, majikan mempunyai tanggungjawab memastikan pekerja terutama warga asing mendapat kemudahan terbabit termasuk memastikan sistem kesihatan dan keselamatan pekerjaan (OSH) dipatuhi.

"Dalam operasi hari ini, kita mengesan terdapat unit rumah kediaman yang dijadikan asrama pekerja warga asing tidak mematuhi Akta 446 dan prosedur operasi standard (SOP) menangani Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

"Antara kesalahan dilakukan adalah menempatkan sehingga 30 pekerja dalam satu rumah selain menjadikan bahagian dapur dan ruang tamu sebagai tempat tidur sedangkan kawasan itu sepatutnya menjadi tempat mereka makan atau berehat," katanya pada sidang media Operasi Bersepadu Khas Akta 446.

Awang berkata, sejak 1 Februari lalu, pihaknya sudah memeriksa 3,652 majikan di seluruh negara membabitkan 29,042 unit penginapan pekerja dengan 317 kertas siasatan dibuka sehingga kini.

"Di bawah Ordinan Darurat, kita akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan pematuhan Akta 446 secara lebih agresif bagi memastikan majikan dan penyedia penginapan berpusat mematuhi peraturan ini.

"Kita memberi amaran keras bahawa tindakan tegas boleh diambil dan majikan boleh didakwa dan dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun jika dikesan melakukan kesalahan ini," katanya.

Sementara itu, Awang memaklumkan Kementerian Sumber Manusia terpaksa menolak permintaan Master Builders Association Malaysia (MBAM) dan lima persatuan kontraktor lain yang meminta kerajaan menangguhkan selama setahun pindaan terbaharu Akta 446.

"Kita faham semua pihak terkesan dari segi kewangan ketika ini, permintaan sektor pembinaan minta penangguhan tidak dapat kita pertimbang, namun kita masih boleh berbincang.

"Kerajaan sedang 'berperang' dengan musuh yang tidak kelihatan (Covid-19), jadi kita mohon semua sektor beri kerjasama dan patuh undang-undang ditetapkan," katanya.

Kelmarin, MBAM dan lima persatuan kontraktor meminta kerajaan memberikan mereka masa bagi mematuhi pindaan Akta 446 berikutan kekangan kewangan akibat peningkatan kos pembinaan serta kos pematuhan SOP COVID-19.

Katanya, penguatkuasaan Akta 446 akan menimbulkan masalah lain kepada kontraktor kerana ada kemungkinan berlaku salah tafsiran terhadap peruntukan undang-undang berikutan kurangnya pemahaman dalam kalangan pihak penguat kuasa.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 4:03 PM