Bangkok: Harimau Malaya sekali lagi ditagih mencipta kebangkitan luar biasa jika ingin menjulang kejuaraan Piala AFF 2014 selepas tewas 0-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Rajamangala, semalam.

Tanpa kelebihan gol tempat lawan, misi anak buah Dollah Salleh untuk muncul juara buat kali kedua selepas 2010 tampak sukar biarpun berpeluang memadam defisit itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Seperti dijangka Dollah tidak membuat sebarang rombakan apabila mengekalkan kesebelasan utama ketika menewaskan Vietnam 4-2 pada separuh akhir kedua di Hanoi minggu lalu.

Norshahrul Idlan Talaha bergandingan dengan Indra Putra Mahayuddin di jentera serangan manakala Shukor Adan kekal sebagai kapten walaupun dia dikatakan cedera menjelang perlawanan.

Walaupun beraksi di depan lebih 45,000 penyokong tuan rumah, Harimau Malaya lebih mengancam dengan dua asakan awal menerusi tandukan Mohd Amri Yahyah dan sepakan Norshahrul namun berjaya diselamatkan penjaga gol Kawin Thamsatchanan.

Usaha pasukan tuan rumah berhasil apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain pertahanan negara Mohd Fadhli Shas menjatuhkan Adisak dalam kotak penalti.

Pemain tengah Thailand Charyl Chappius tenang menyempurnakan sepakan itu untuk meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-70.

Dan pemain sayap Kroekrit Thawikan mematikan api perjuangan Harimau Malaya dengan gol kedua menerusi serangan pantas pada minit ke-86.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 7:06 AM