MUN Yee tekun menyiapkan rekaannya.
MUN Yee tekun menyiapkan rekaannya.
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Dalam arena sukan tanah air, Leong Mun Yee adalah antara nama atlet terjun yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Atlet berusia 31 tahun itu sering mencuri tumpuan tidak kira ketika berada di dalam mahupun di luar kolam renang.

Bukan saja pencapaiannya dalam bidang sukan, malah penampilan menariknya menjadikan dia antara atlet wanita yang boleh dikatakan popular.

Bagaimanapun, bakatnya tidak terhad di kolam renang saja dan ramai yang tidak tahu Mun Yee mempunyai kepakaran menghasilkan ciptaan sendiri terutamanya perhiasan.

Antara barangan yang pernah dihasilkannya adalah hiasan bingkai gambar, coklat, loom band (gelang tangan) serta barangan menerusi hasil mengait dan sulaman.

Selepas enam tahun berjinak-jinak dengan penghasilan barangan berkenaan, ia kini menjadi hobi utama khususnya ketika berlatih di luar negara.

“Sebenarnya sebelum ini hobi saya membaca novel, namun sekarang saya lebih banyak membuat barang-barang perhiasan jika ada masa lapang terutama ketika berlatih di luar negara seperti di China.

“Membuat barangan perhiasan ini bukan saja menghilangkan rasa bosan tapi ia dapat mengurangkan tekanan selepas penat berlatih atau pun ketika kejohanan,” katanya ketika ditemui Arena Metro baru-baru ini.

Mun Yee yang beraksi di Sukan Olimpik empat kali berturut-turut sejak 2000 mengaku sanggup menghabiskan masa kadang kala berbulan-bulan lamanya untuk menyiapkan sesuatu barangan.

Jelas gadis kelahiran Ipoh, Perak itu, kebanyakan barangan yang disiapkan akan menjadi simpanan peribadi dan ada juga dihadiahkan kepada rakan-rakannya.

“Setahu saya, tidak ada atlet lain yang berkongsi hobi dengan saya. Tapi kadang kala ada kawan-kawan yang turut menemani saya ketika menyiapkan sesuatu barang dan saya tidak kisah kerana saya lebih seronok jika mereka tolong ‘sibuk’.

“Masa untuk menyiapkan sesuatu barang itu bergantung kepada keadaan. Untuk hasilkan ‘cross stich’ ambil masa lama tapi kalau ‘loom band’ atau hiasan bingkai gambar cuma sekejap saja.

“Semua barang yang saya buat saya simpan sama ada di sini (MSN Bukit Jalil) atau di rumah di Ipoh. Ada juga barang yang saya buat untuk dihadiahkan kepada kawan seperti coklat untuk Pandelela (Rinong) dan Bitah (Nur Dhabitah Sabri),” katanya.

Hobi Mun Yee tidak menelan belanja yang besar namun dia pernah menghasilkan barangan hiasan paling mahal iaitu bingkai gambar ‘hello kitty’ dengan kos hampir RM200.

Apa yang mengagumkan, dia hanya mempelajari teknik untuk membuat barangan hiasan berpandukan kepada video di Youtube.

“Tidak susah untuk membuat semua barang ini, cuma kadang-kadang saya akan tengok Youtube cara mereka buat,” jelas Mun Yee.

Ketika ditanya adakah dia berminat untuk membuka perniagaan menjual barangan hiasan selepas bersara, Mun Yee mengaku belum memikirkannya lagi.

“Buat masa ini, ia hanya hobi tapi tak tahulah mungkin saya akan membuat perniagaan kalau sudah bersara. Selepas ini sasaran saya untuk terpilih ke Sukan SEA tahun depan dan selepas itu saya akan pertimbangkan, memang kalau boleh saya nak beraksi lagi di Sukan Olimpik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 11:26 AM