Mun Yee (kiri) dan Pandelela layak ke Tokyo. FOTO NSTP
Mun Yee (kiri) dan Pandelela layak ke Tokyo. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


KEJAYAAN dirasai seperti satu keajaiban buat gandingan berpengalaman negara Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee apabila berjaya menempah tiket ke temasya Olimpik Tokyo dalam acara 10 meter terjun seirama.

Lebih manis ia kejayaan berganda buat gandingan negara itu kerana turut merangkul perak di Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, semalam.

Persediaan yang singkat hanya dalam tempoh tidak sampai sebulan berlatih bersama, perak yang diraih oleh kedua-dua penerjun itu dianggap memberi seribu makna.

Namun bagi Pandelela yang sebelum ini merangkul perak di temasya Olimpik Rio bergandingan bersama Cheong Jun Hoong dalam acara yang sama berkata, pujian perlu diberikan kepada Mun Yee kerana berjaya melakukan terjunan terbaik.

"Saya dan Mun Yee hanya berlatih bersama tiga minggu di China. Latihan memang teruk tapi macam ajaib apabila semua terjunan kami menjadi.

"Terima kasih Mun Yee kerana berusaha melakukan yang terbaik lebih baik daripada latihan," kata Pandelela.

Keputusan itu menyaksikan peningkatan dalam pencapaian Pandelela dan Mun Yee selepas mereka meraih pingat gangsa dalam dua edisi sebelum ini 2009 di Rome dan 2013 di Barcelona.

Sementara itu, bagi Mun Yee ia adalah kali kelima dia melayakkan diri ke temasya terbesar dunia itu.

"Masa yang singkat untuk berlatih bersama, persaingan yang sengit daripada ke semua atlet, kejayaan merangkul perak ini satu yang cukup menggembirakan.

"Ia memberi saya satu kepuasan. Tapi saya kena usaha lagi.

Tidak boleh berpuas hati dengan apa yang dicapai hari ini," kata Mun Yee.

Kali terakhir mereka bergandingan adalah dua tahun lalu yang mana mereka sepatutnya beraksi pada Sukan Asia Jakarta-Palembang namun disebabkan Pandelela mengalami kecederaan Mun Yee digandingkan bersama Nur Dhabitah Sabri menyaksikan mereka meraih gangsa.

Untuk rekod, Pandelela pernah memenangi gangsa acara 10m platform individu pada tahun 2015 di Kejohanan Dunia di Kazan dan 10m platform terjun seirama bersama Jun Hoong pada tahun 2017 di Budapest.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 4:33 PM