MUN Yee ketika ini mempunyai 191,000 pengikut di laman Instagram dan 104,000 di TikTok. FOTO YouTube Mun Yee Leong
MUN Yee ketika ini mempunyai 191,000 pengikut di laman Instagram dan 104,000 di TikTok. FOTO YouTube Mun Yee Leong
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Peminat dan pengikut Leong Mun Yee pasti teruja dengan perkembangan terbaharu apabila penerjun berpengalaman itu memutuskan untuk membuka akaun YouTube.

Menariknya Mun Yee, yang melakar sejarah muncul atlet pertama negara bertanding dalam lima temasya Sukan Olimpik, mendapatkan pandangan serta teguran daripada peminatnya terlebih dahulu sebelum meneruskan usaha terkininya itu.

Menerusi akaun Instagram miliknya, Mun Yee, 36, bertanyakan kepada peminat dan pengikutnya mengenai bahan menarik yang disyorkan untuk dimuat naik dalam laman YouTube itu.

Dalam masa tiga hari saja, dia mendapat kira-kira 2,300 pengikut (subscriber) di YouTube. Ketika ini Mun Yee mempunyai 191,000 pengikut di laman Instagram dan 104,000 di TikTok.

Setakat ini dua video sudah dihasilkannya dan kedua-duanya mengenai sesi soal jawab bersama peminat yang memberikan cadangan serta pandangan mengenai bahan yang boleh dimuat naik dalam laman popular itu.

Rata-rata peminat memberikan cadangan mengenai rutin harian Mun Yee sebagai atlet, panduan untuk menjadi penerjun, senaman ringkas serta panduan untuk kekal cantik seperti penerjun berasal dari Perak itu.

Ada juga yang meminta Mun Yee memberi lebih banyak hadiah cenderamata, membuat beberapa cabaran bersama atlet lain dan bercakap bahasa Melayu selama 24 jam, membakar biskut kegemarannya, bercerita mengenai anjing kesayangannya Mimi serta 'unboxing' album K-Pop kegemarannya, NCT.

"Sebagai permulaan, hari ini saya membuat sesi soal jawab bersama pengikut saya di akaun Instagram. Mengenai rutin harian sebagai atlet, sekarang saya masih ada di kampung halaman. Apabila saya balik ke Bukit Jalil nanti saya boleh buat kisah mengenai rutin sebagai atlet dan juga vlog sebelum pergi berlatih.

"Tip untuk jadi penerjun. Pertama perlu bermula sejak dari kecil lagi, boleh cuba tengok sama ada sesuai untuk jadi penerjun tapi untuk menjadi penerjun ini bukan mudah, memang agak sukar sebenarnya," kata Mun Yee, yang bertanding kali pertama pada temasya Olimpik di Sydney 2000 pada usia 15 tahun.

"Saya juga sudah memberi hadiah cenderamata Tokyo 2020 dan tahniah kepada pemenang. Saya akan bagi selebihnya kepada rakan tapi kalau ada lebih nanti mungkin saya akan jual di Carousell dan duit daripada situ nanti mungkin saya sumbang kepada badan kebajikan," katanya.

Mun Yee, yang menduduki tangga kelapan bersama Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama wanita di Tokyo 2020 pada penampilan terakhirnya, juga akan membuka akademi latihan terjun tidak lama lagi ketika dia dijangka bersara hujung tahun ini.

"Ya, akademi saya belum buka lagi. Lepas ini mungkin saya boleh memuat naik bahan mengenai perjalanan akademi," katanya.

Mun Yee yang mudah disapa Angela dalam kalangan pengikutnya, bertanding pada temasya Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.

Bagaimanapun dia tidak terpilih beraksi pada temasya Rio 2016 sekalipun dilaporkan berada pada tahap kecergasan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 12:18 PM