KOEMAN
KOEMAN
AFP

Manchester: Bekas rakan sepasukan di Barcelona - Pep Guardiola dan Ronald Koeman bertemu kembali di Eastlands malam ini ketika Manchester City dan Everton bertemu buat pertama kali dalam aksi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Pengurus Everton Koeman kini menanti peluang untuk menunjukkan kemampuannya berdepan rakan sejawatannya di City yang menikmati karier gemilang bersama kelab Catalan itu sewaktu Koeman menyertai Barca pada 1989.

“Saya mempunyai kenangan manis bersama Pep,” kata Koeman.

“Kami mempunyai persahabatan yang utuh. Kini ia lebih mudah kerana dia tinggal di Manchester dan saya tinggal berhampiran Manchester.

“Ada kalanya kami berpeluang makan malam bersama dan berbincang mengenai kehidupan dan bola sepak. Kami menghabiskan banyak masa bermain bola sepak.

“Dia berminat mengetahui bagaimana kami bermain di Belanda. Saya banyak melihatnya dalam perlawanan dikendalikan Pep, mengenai Barca dan bola sepak Belanda dan saya sukakannya kerana ia cara paling sukar untuk menang, bermain bola sepak secara ofensif.

“Adakalanya amat berisiko untuk menang gelaran. Ramai pengurus lain memenangi gelaran tetapi bukan dengan gaya bola sepak seperti itu.

“Apa yang mengejutkan mengenai Pep ketika dia menjadi pengurus Barca adalah saya melihat pasukan Barca terbaik dalam setiap aspek bola sepak.

“Standard di sana sentiasa tinggi tetapi dia menjadikannya sehingga 200 peratus dalam setiap aspek.”

Everton berkunjung ke laman City dengan Guardiola berdepan cabaran pertama sejak tiba dari Bayern Munich.

Selepas membuka musim ini dengan 10 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan, City seri dengan Celtic dalam aksi Liga Juara-Juara dan tewas buat pertama kali di bawah Guardiola, 0-2 di tangan Tottenham pada pertemuan terakhir mereka.

Seperti juga City, Everton juga kalah sekali dalam liga, tewas 0-1 di tangan Bournemouth akhir bulan lalu.

Malah, pemain tengah City dari Brazil Fernando menegaskan mereka perlu segera bangkit daripada kekalahan pertama mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 8:58 AM