ZABALETA (tengah) cedera ketika menentang Barca.
ZABALETA (tengah) cedera ketika menentang Barca.
AFP

Manchester, United Kingdom: Pengurus Manchester City Pep Guardiola berkata, beliau lebih rela meletakkan jawatannya berbanding mengubah falsafahnya mengenai bola sepak.

City mengharungi empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan dan akan menentang Southampton malam ini. Perlawanan itu hadir selepas City dibelasah 0-4 oleh Barcelona pada saingan Liga Juara-Juara.

Ada pendapat mengatakan Guardiola mungkin mengubah pendekatannya minggu ini bagi memastikan cengkaman City lebih kukuh selepas dilihat agak tidak memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

Tetapi bekas jurulatih Barcelona dan Bayern Munich itu tegas mengatakan beliau akan terus mengamalkan corak permainan yang diamalkan sebelum ini.

“Tidak. Saya tidak akan mengubah pasukan,” kata Guardiola. “Pertamanya, jika ia tidak menjadi tahun ini, saya yakin ia akan membuahkan hasil tahun depan. Jika tidak, saya akan meletakkan jawatan.

“Saya pernah memenangi 21 gelaran sepanjang tujuh tahun. Ia bermakna saya menang kejuaraan tiga kali setahun dengan cara permainan sebegitu.

“Cara yang kami mainkan ialah cara di mana yang mereka amalkan di akademi sejak dulu. Itulah sebabnya mengapa saya berkata ia cukup bagus. Sebelum ini ia menjadi dan saya minta maaf keputusan mula berubah sejak dua atau tiga minggu kebelakangan ini.”

City akan bermain di Southampton tanpa pertahanan kanan Pablo Zabaleta yang mengalami kecederaan ketika menentang Barca manakala Bacary Sagna masih lagi berdepan masalah hamstring.

Guardiola turut mendedahkan kapten City Vincent Kompany masih lagi tidak yakin dengan dirinya selepas kerap dilanda kecederaan sejak dua musim lalu.

Pemain antarabangsa Belgium berusia 30 tahun itu tidak dibawa ke Barca tetapi dijangka boleh bermain di Southampton.

“Beberapa minggu lalu saya jangka Vincent sudah boleh bermain tetapi ternyata dia tidak boleh,” kata Guardiola.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 5:12 AM